Jika anda seorang pembina komputer, anda pasti mengetahui tentang siri kad grafik MSI Lightning yang sudah lama tidak diperlihatkan oleh mereka. Secara lazimnya, model kad grafik MSI Lightning hadir dengan sistem penyejukan tercanggih mereka, dan mempunyai keupayaan untuk dilewahjam untuk prestasi yang lebih baik daripada apa yang ditawarkan model-model lain.
Terkini, MSI telah memperlihatkan dua model kad grafik MSI Lightning “Special Edition” untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 yang baru diumumkan oleh NVIDIA semalam. Kad grafik ini hadir dengan dua model, salah satu daripadanya menggunakan sistem penyejukan cecair AIO dengan dua kipas penyejukan 120mm, dan satu lagi model dengan sistem penyejukan kipas “FiveFrozr” yang menggunakan lima kipas terbina.
Untuk model dengan penyejuk cecair, MSI menggunakan sistem penyejukan cecair HydroCool dan menggunakan dua buah kipas StormForce 120mm untuk mengalirkan haba daripada sirip-sirip penyejukan kad grafik.
Untuk model yang menggunakan sistem penyejukan udara FiveFrozr pula, model ini tampil dengan tiga kipas StormForce 100mm di bahagian hadapan untuk menarik udara sejuk, dan dua kipas StormForce 120mm di bahagian plat belakang untuk menghembuskan udara panas daripada sirip penyejukan kad grafik.
Dengan penggunaan nama MSI Lightning pada model kad grafik ini, ia dijangka bahawa kad grafik ini juga akan hadir dengan kebolehan untuk dilewahjam yang tinggi, sesuai untuk mereka yang mahu membina sebuah komputer gaming yang sangat berkuasa.