Carian
ASUS Vivobook Pro 15 Dengan Cip Pemprosesan Intel Core Ultra 200V Diperlihatkan
January 8, 2025 Nazrin

Pada tahun lepas, ASUS telah memperlihatkan siri komputer riba Zenbook S14, komputer riba pertama mereka yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V terbaru yang tampil dengan prestasi perkomputeran dan bateri yang hebat.

Kini, mereka nampaknya akan mula menawarkan kuasa tersebut kepada siri komputer riba lebih mampu milik, iaitu ASUS Vivobook Pro 15. Komputer riba ini hadir dengan paparan skrin ASUS Lumina OLED bersaiz 15.6 inci dengan resolusi 3K dan kadar segar semula 120Hz.

Ia akan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan sehingga Intel Core Ultra 9 288V yang mempunyai memori terbina sebanyak 24GB dan storan SSD sebesar 2TB. Menambahkan kuasa pemprosesan pada komputer riba ini lagi ialah GPU NVIDIA GeForce RTX 4050, dan akan disejukkan dengan sistem penyejukan ASUS IceCool Pro, dan ini membolehkan komputer riba ini beroperasi pada penggunaan kuasa 125W.

Dari segi penawaran palam, ASUS Vivobook Pro 15 ini tampil dengan palam Thunderbolt 4, USB 3.2 Gen 2 Type-C, USB 3.2 Gen 1 Type-A, satu palam HDMI 2.1 dan slot untuk kad MicroSD.

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah ASUS akan mula menjual komputer riba ini.

Komen