Carian
ASUS Zenbook A14 Ialah Komputer Riba Padat Dan Berkuasa Yang Dikuasakan Cip Pemprosesan Qualcomm Snapdragon X
January 8, 2025 Nazrin

Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba yang nipis dan ringan, dengan kuasa pemprosesan hebat dan jangkahayat bateri yang lama, mungkin anda mahu menunggu untuk penawaran terbaru ASUS dalam siri Zenbook mereka, iaitu ASUS Zenbook A14.

Komputer riba ini diperlihatkan di CES 2025 dan tampil dengan paparan skrin OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi WUXGA dengan nisbah paparan 16:10 dan kadar segar semula 60Hz. Komputer riba ini dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X dan Qualcomm Snapdragon X Elite, dengan jumlah memori LPDDR5X sehingga 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Dari segi penawaran palam, ASUS Zenbook A14 menawarkan dua palam USB 4.0 Gen 3 (40Gbps), satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1 dan satu palam audio 3.5mm. Menariknya, untuk sokongan WiFi, model yang dikuasakan cip Snapdragon X Elite tampil dengan WiFi 7, tetapi model dengan cip Snapdragon X hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E.

Dengan pilihan bateri sebesar 70Wh, komputer riba ini juga mampu bertahan selama 32 jam berterusan dengan satu pengecasan penuh sahaja.

Seperti komputer riba ASUS Zenbook baru yang lain, ASUS Zenbook A14 ini juga tampil dengan rangka luaran yang diperbuat daripada bahan Ceraluminum yang membuatkan komputer riba ini sangat ringan sekali. Malah, ASUS mengatakan bahawa komputer riba ini hadir dengan berat 0.9KG sahaja.

ASUS dijangka akan membuat pengumuman mengenai pelancaran komputer riba ini kelak.

Komen