Carian
ASUS TUF Gaming A18 Ialah Komputer Riba Gaming 18 Inci Pertama Dalam Siri Ini
January 8, 2025 Nazrin

Siri komputer ASUS TUF Gaming secara lazimnya dilihat sebagai siri komputer riba gaming kelas mampu milik, khususnya apabila dibandingkan dengan penawaran yang diperlihatkan pada siri ASUS ROG.

Kini, siri TUF Gaming akan menerima satu lagi model baru dibawah jenama tersebut melalui ASUS TUF Gaming A18, yang hadir dengan paparan skrin 18 inci. Ia menggunakan paparan skrin IPS dengan resolusi 2560×1600 dan kadar segar semula 240Hz.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 7 260 dan mempunyai pilihan untuk kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 5070. Untuk penawaran memori dan storan pula, komputer riba ini juga tampil dengan pilihan memori LPDDR5X sehingga 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sehingga 2TB.

Dari segi penawaran palam, komputer riba ini menawarkan satu palam USB4, satu palam USB 3.2 Type-C Gen2, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB 2.0, satu palam HDMI 2.1, satu palam RJ-45 LAN dan satu palam audio 3.5mm.

Untuk penyejukan, komputer riba ini, dan juga komputer riba TUF lain yang dikemaskini untuk tahun ini tampil menggunakan kipas Arc Flow generasi kedua yang menjanjikan pengalaman gaming yang selesa dengan menyejukkan komponen-komponen terbina secara lebih agresif, tetapi dengan bunyi yang perlahan.

ASUS dijangka akan membuat pengumuman lanjut mengenai pelancaran komputer riba ASUS TUF Gaming A18 ini tidak lama lagi.

Komen