Razer menggunakan pentas CES 2025 untuk memperlihatkan sebuah lagi konsep mereka. Dengan kecerdasan buatan (AI) menjadi ciri paling hangat pada waktu ini, Project AVA diumumkan dengan ia boleh memberikan bantuan ketika sesi permainan video secara masa nyata.
Project AVA ingin menjadi pembantu yang memberikan saranan terbaik apa yang perlu dilakukan seterusnya oleh pemain berdasarkan analisis sesi permainan terdahulu. Dalam video di atas, AVA memberikan saranan memberikan arahan kepada rakan sepasukan dalam permainan FPS dan memberitahu taktik terbaik mengalahkan musuh dalam Black Myth : Wukong.
AI AVA dilatih menggunakan data permainan atlet esukan Team Razer. Bantuan boleh diberikan dalam bentuk audio, teks perbualan dan lapisan di atas permainan yang sedang dimainkan. Pada ketika ini Project AVA masih sebuah konsep tetapi Razer merancang menawarkannya dalam bentuk perisian Beta di masa hadapan.