Carian
Dua Prototaip EV Honda 0 Baharu Diperlihatkan Dengan Sistem Operasi ASIMO OS
January 8, 2025 Effi Saharudin

Honda agak lewat menawarkan kereta elektrik (EV) kerana lebih memberikan tumpuan kepada kenderaan hibrid. Hari ini mereka mengumumkan dua prototaip EV iaitu Honda 0 Saloon dan Honda 0 SUV. Ini merupakan kemas kini kepada dua prototaip Honda 0 Saloon dan Space-Hub yang diperlihatkan setahun lalu. Kedua-duanya mengekalkan rekaan sama yang menggabungkan elemen retro 80an dengan kemasan dalam yang lebih kontemporari.

Honda 0 SUV ialah model yang masih kelihatan seperti kereta konvensional dengan saiz pula setanding dengan Honda Prologue yang merupakan BEV pertama mereka. Sistem stereng kenderaan adalah dari jenis steer by wire yang digunakan pada Cybertruck. Stereng kenderaan juga adalah seperti stereng kapal terbang dan bukannya berbentuk bulat.

Honda 0 Saloon pula nampak seperti sebuah MPV tetapi dengan rekaan agresif mirip sebuah kereta Lamborghini. Pada bahagian belakang terdapat cermin empat segi bersaiz besar dikelilingi lampu LED merah yang besar. Saloon walau bagaimanapun tidak dilengkapi sistem steer by wire.

Kedua-dua kenderaan akan menggunakan sistem operasi baharu ASIMO OS yang mengintegrasikan ECU, sistem swapandu dan juga info hibur kenderaan. Honda menyasarkan apabila mula dijual kelak siri Honda 0 mempunyai kemampuan swapandu Tahap 3.

Honda mengatakan kedua-dua prototaip ini akan menjadi asas kepada EV yang akan mula dijual pada tahun 2026 di Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum ke pasaran global.

Komen