Carian
MSI
MSI MEG Vision X AI 2nd Ialah Desktop Gaming Berkuasa Dengan Paparan Sesentuh Terbina
January 8, 2025 Nazrin

MSI telah memperlihatkan sejumlah penawaran produk baru di acara CES 2025 yang sedang berlangsung, dan satu lagi produk yang menarik kepada kami ialah komputer desktop gaming terbaru mereka yang dinamakan MSI MEG Vision X AI 2nd.

Desktop MEG Vision X AI 2nd ini hadir dengan rekaan yang lebih lebar daripada tinggi, dan ini adalah kerana komponen-komponen yang digunakan dalam komputer desktop ini adalah besar, tetapi juga ia tampil dengan sistem penyejukan serba baru yang bukan sahaja mengalirkan haba dari CPU dan GPU, tetapi juga komponen-komponen lain pada papan induk seperti cip VRM dan sebagainya.

Desktop ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 200 terbaru (sehingga Intel Core Ultra 9 285K) dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 yang sangat berkuasa. Ini, digabungkan dengan sistem penyejukan Glacier Armor yang menggabungkan penyejuk AIO 360mm terbina, penyejuk komponen pada papan induk dan teknologi AI Silent Storm AI juga akan membantu dalam memastikan bahawa komputer ini beroperasi pada kadar optimum.

Satu gimik menarik yang dapat diperlihatkan pada desktop MSI MEG Vision X AI 2nd ini ialah paparan skrin sesentuh bersaiz 13.1 inci yang terletak di bahagian hadapan desktop ini.

Paparan ini mengintegrasikan aplikasi MSI AI App yang bukan sahaja memperlihatkan butiran komputer ini seperti kelajuan CPU/GPU dan suhu komponen-komponen tersebut, tetapi juga membolehkan anda mengubahsuai pelbagai jenis tetapan bukan sahaja menggunakan paparan sesentuh, tetapi melalui arahan suara juga.

MSI dijangka akan membuat pengumuman lanjut mengenai spesifikasi khusus komputer desktop ini, termasuklah dengan jualannya kelak.

Komen