Di acara CES 2025, Dell telah mengumumkan langkah drastik dengan mengemaskini penjenamaan komputer-komputer riba mereka dari model XPS ke Latitude dan sebagainya dengan menggunakan nama Dell, Dell Pro dan Dell Pro Max. Menariknya, terdapat satu jenama yang tidak diubah, iaitu Alienware, dan pada tahun ini, jenama tersebut memperlihatkan nafas baru.
Dell mengumumkan bahawa jenama Alienware akan mengembalikan siri komputer desktop dan komputer riba gaming berkuasa Alienware Area 51 mereka yang dikuasakan oleh gabungan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200K dan juga siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000.
Bermula dengan komputer desktop Alienware 51, Dell telah mengekalkan rekaan bersegi dan melengkung unik mereka, tetapi kali ini telah mengubahsuai cara mereka mendekati penyejukan komponen-komponen didalam rangka komputer.
Dikuasakan komponen-komponen berkuasa seperti Intel Core Ultra 9 285K dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090, Dell menggunakan gabungan sistem penyejukan AIO dengan pilihan radiator bersaiz 240mm ataupun 360mm dan sejumlah kipas untuk menyedut udara sejuk dari luar ke dalam rangka komputer, dan kemudiannya udara panas didalam rangka akan dikeluarkan dari belakang secara pasif kerana itu sahaja ruang yang ada untuk udara mengalir keluar dari rangka.
Desktop Alienware Area 51 menggunakan kipas 120mm pada bahagian radiator 240mm atau 360mm, dua buah kipas 140mm di bahagian bawah rangka dan dua kipas 180mm di bahagian depan rangka untuk mengalirkan udara sejuk yang banyak kepada komponen-komponen CPU dan GPU. Udara panas kemudiannya akan ditolak secara pasif ke bahagian belakang tanpa menggunakan sebarang kipas.
Dell mengatakan bahawa cara pengaliran udara “positive pressure” ini bukan sahaja menyejukkan komponen-komponen didalam komputer pada kadar 13 peratus lebih cekap, tetapi juga pada kadar 45 peratus lebih senyap kerana jumlah kipas yang digunakan tidak sebanyak komputer-komputer lain.
Rekaan desktop Alienware Area 51 ini juga membolehkan pengguna untuk membuka dan membersihkan bahagian seperti kipas penyejuk, penuras habuk dan radiator penyejuk CPU dengan cepat dan mudah untuk memastikan bahawa aliran udara kedalam dan keluar komputer ini sentiasa dalam tahap optimum.
Komputer riba Alienware 51 juga memperlihatkan rekaan serba baharu, dengan menggabungkan rekaan yang menyerupai sebuah kapal angkasa futuristik dengan nama AW30. Ia hadir dengan dua pilihan saiz paparan berbeza, termasuklah 16 inci dan 18 inci, dimana kedua-duanya hadir dengan resolusi QHD+ 2560×1600. Model 18 inci akan hadir dengan kadar segar semula 300Hz, manakala model 16 inci akan mempunyai kadar segar semula 240Hz.
Komputer-komputer riba ini akan hadir dengan pelbagai pilihan spesifikasi, tetapi untuk penawaran paling berkuasa, ia akan menggunakan cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 285HX dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 untuk komputer riba.
Dari segi penawaran memori dan storan, Dell mengatakan bahawa kedua-dua komputer riba ini boleh memuatkan sebanyak 64GB memori DDR5 dan storan sehingga 12TB. Kedua-dua komputer riba ini juga dimuatkan dengan bateri sebesar 96Wh dan hadir dengan bongkah pengecasan dengan output 360W.
Untuk menyerikan lagi komputer riba ini, sistem pencahayaan AlienFX dan juga warna Liquid Teal pada rangka komputer riba ini memberikan rupa Aurora Borealis apabila pengguna melihat komputer riba ini. Satu lagi ciri unik ialah tetingkap menggunakan kaca Gorilla Glass di bahagian bawah komputer riba ini dimana pengguna boleh melihat komponen-komponen CPU dan GPU.
Dari segi penawaran palam pula, komputer-komputer riba ini mempunyai dua palam Thunderbolt 5, tiga palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad SD bersaiz penuh.
Dell mengatakan bahawa komputer-komputer ini akan mula ditawarkan di beberapa pasaran terpilih dahulu pada suku pertama tahun 2025.