Carian
PRISM+ Kini Menawarkan Televisyen 100-inci Dikuasakan Google TV Pada Harga RM12,999
January 8, 2025 Aman

PRISM+, salah satu jenama yang sedang meningkat naik dalam penawaran peralatan dan perkakasan elektrik untuk rumah, kini memperkenalkan model televisyen baharu untuk pasaran Malaysia, iaitu PRISM+ Q100 Ultra. Model ini merupakan model televisyen pertama oleh PRISM+ yang menawarkan paparan bersaiz 100-inci, menggunakan panel 4K QLED, 120Hz.

Televisyen pintar ini dikuasakan dengan sistem operasi Googel TV, serta dilengkapi pelbagai teknologi terkini seperti Dolvy Atmos, Dolby Vision, dan juga sokongan paparan HDR10+. Televisyen ini turut menawarkan mod permainan bagi pengguna konsol, menyediakan paparan pada kadar segar semula 120Hz.

Dengan integrasi Google TV juga, ia menyediakan akses kepada sejumlah kandungan dan aplikasi dengan mudah. Pengguna turut boleh mengawal dan menemui kandungan baharu melalui integrasi Google Assistant, selain dilengkapi profil kanak-kanak bagi menonton kandungan selamat seisi keluarga.

Di Malaysia, PRISM+ Q100 Ultra ini ditawarkan pada harga RM12,999. Untuk masa terhad, ia turut menawarkan penghantaran dan pemasangan percuma bernilai RM2,000, selain sebuah bar audio berharga RM999. Bagi anda yang membeli kaca televisyen ini turut akan menerima langganan 36 bulan secara percuma untuk Viu, 3 bulan percuma untuk WeTV, meWatch dan Durioo+. Anda yang berminat boleh menyemak laman rasmi PRISM+ hari ini.

Komen