Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini mengumumkan kerjasama strategik bersama GIG Venture, Lekir Tech dan Mesolitica dalam usaha untuk mendidik dan meningkatkan penggunaan kecerdasan buatan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana.
Dibawah usaha ini, masing-masing akan memainkan peranan dalam mendidik dan menyediakan pelbagai perusahaan kecil dan sederhana kepada perubahan dunia yang bergerak lebih pantas melalui penggunaan kecerdasan buatan. Untuk tujuan ini, GIG Venture akan melakukan usaha mendidik dan mempromosi, Lekir Tech akan menawarkan penyelesaian kecerdasan buatan dalam membangunkan ejen AI, sementara Mesolitica akan menyediakan model bahasa raya untuknya.
Dengan penggunaan kecerdasan buatan dalam beberapa tugasan dan produktiviti harian, ia dijangka akan membolehkan pelbagai perusahaan untuk bersaing dengan lebih baik bersama syarikat dan jenama besar yang lain. Inisiatif ini dijangka akan bermula melibatkan ahli DPMM terlebih dahulu, dan mungkin diperluaskan kepada lebih ramai lagi – selain pada waktu yang sama turut memfokuskan kepada produk-produk teknologi buatan tempatan sepenuhnya dalam memacu perniagaan dan syarikat Malaysia.