Pada pertengahan tahun lepas, ZOTAC, jenama teknologi yang terkenal untuk komponen komputer mereka telah memperkenalkan konsol PC mereka sendiri yang dinamakan ZOTAC Gaming Zone. Konsol tersebut dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 7 8840U dan tampil dengan beberapa ciri menarik tersendiri, dan sudahpun mula dijual di pasaran tempatan.
Di acara CES 2025, ZOTAC telah memperlihatkan prototaip konsol Gaming Zone mereka, dan kali ini ia dikuasakan oleh sebuah CPU AMD baru, iaitu AMD Ryzen AI 9 HX 370. Ia juga hadir dengan memori LPDDR5X sebanyak 32GB dan storan terbina sebesar 1TB.
Dari segi rekaan dan rupa konsol ini, nampaknya tidak banyak yang berubah. Ia masih mengekalkan paparan skrin OLED 7.0 inci dengan kadar segar semula 120Hz dan menggunakan suis Hall Effect untuk bahagian kayuria dan butang pemicu di belakang.
Dari segi prestasi, oleh kerana cip pemprosesan Ryzen AI 300 terbaru ini mempunyai julat penggunaan kuasa yang lebih tinggi, ia dijangka akan mempunyai prestasi yang jauh lebih baik berbanding model sebelum ini.
Konsol Gaming Zone baru ini juga akan hadir dengan palam USB4, slot kad MicroSD, sokongan untuk sambungan WiFi 6E dan juga bateri 48.5Wh terbina. Rangka konsol prototaip ini juga dilihat hadir dalam warna putih, berbeza dengan rangka hitam sebelum ini.