Carian
HONOR Magic7 Pro – Telefon Mercu Terkini Dengan Teknologi AI Mantap
January 9, 2025 Amy Maizuraa

HONOR kembali dengan model mercu terbaru Magic7 Pro di Malaysia. Model ketujuh ini telah membawa peningkatan yang signifikan dari segi teknologi dan reka bentuk, menjadikan ia lebih canggih dan serba boleh. Malahan kombinasi sistem kamera yang mengagumkan dan prestasi hebat juga menjadikan ia sebuah telefon mercu yang patut dipertimbangkan.

Adakah terdapat aspek lain yang anda ingin ketahui dengan lebih lanjut mengenai telefon baharu HONOR ini? Mari kita kongsikan semua maklumat menarik mengenai HONOR Magic7 Pro dalam artikel ini. Pastikan anda terus membaca untuk mendapatkan pandangan yang lebih mendalam tentang kehebatan dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh model baharu ini.


Teknologi AI Canggih Ubah Cara Kita Berinteraksi 

Antara ciri yang paling menonjol pada HONOR Magic7 Pro adalah kemampuan untuk mengesan penipuan dan ancaman digital. Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi deepfake semakin berbahaya dengan kemampuannya meniru suara dan rupa seseorang dengan ketepatan yang tinggi. Ini menimbulkan pelbagai risiko, termasuk penipuan, penyebaran maklumat palsu, dan ancaman terhadap privasi individu.

Justeru HONOR cuba melindungi pengguna daripada ancaman Deepfake yang semakin meningkat dengan memperkenalkan ciri AI Deepfake Detection pada HONOR Magic7 Pro. Ia bantu mengesan kandungan deepfake dengan memberikan amaran kepada pengguna, dan melindungi mereka daripada ancaman digital.

Sistem ini dapat mengesan kandungan deepfake dalam masa nyata dengan memberikan amaran segera kepada pengguna. Ia menggunakan teknologi AI untuk menganalisis wajah dan pergerakan dalam panggilan video untuk mengenal pasti sebarang perubahan yang mencurigakan. Jika didapati adanya penipuan atau kandungan deepfake maka amaran akan diberikan kepada pengguna.

Amaran ini berbentuk notifikasi atau mesej pop-up yang memberitahu pengguna bahawa panggilan video yang sedang dilihat kemungkinan telah dimanipulasi atau tidak asli. Amaran juga mengandungi cadangan untuk tindakan selanjutnya seperti menamatkan panggilan, dan pengguna dapat mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. Teknologi AI Deepfake Detection ini menyediakan lapisan keselamatan tambahan yang sangat penting dalam era digital sekarang.

Ciri menonjol yang seterusnya pada HONOR Magic7 Pro ialah Magic Portal 2.0. Sama ada anda mahu menguruskan dokumen, mencari maklumat, atau membuat pelbagai tugas harian lain, Magic Portal 2.0 sememangnya boleh membantu mempercepatkan proses tersebut. Ia berfungsi seperti “Circle to Search” tetapi dengan lebih banyak keupayaan dan integrasi yang lancar.

Misalnya seperti Drag to Shop yang membolehkan pengguna menyeret gambar produk dari galeri atau laman web terus ke dalam aplikasi e-dagang yang disokong untuk membuat pembelian secara dalam talian dengan mudah dan cepat. Setakat ini hanya Taobao dan Google Image Search sahaja yang disokong manakala Shopee dan Lazada pula akan datang dalam tempoh terdekat. Selain itu Drag to Navigation membolehkan pengguna menyeret lokasi atau alamat daripada mesej, emel atau laman web terus ke aplikasi peta seperti Google Maps untuk mendapatkan arah ke destinasi tersebut.

Pengguna juga boleh menyeret kandungan berbentuk gambar atau video terus ke aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram, atau Facebook untuk perkongsian yang mudah melalui ciri Drag to Share. Sementara itu Drag to Email membenarkan pengguna menyeret fail, gambar atau dokumen terus ke dalam aplikasi email lalu menjadikan proses menghantar email lebih mudah.

Melalui Drag to Save pula pengguna boleh menyeret gambar, fail atau dokumen dari aplikasi lain terus ke aplikasi penyimpanan awan seperti Google Drive, Dropbox atau OneDrive. Ini bukan sahaja memudahkan proses penyimpanan, tetapi juga menjimatkan masa.

Bukan itu sahaja, Circle To Search dari Google Gemini juga kini boleh digunakan pada HONOR Magic7 Pro. Berbeza dengan solusi AI yang digunakan oleh jenama lain, HONOR menggabungkan Cloud AI dan On-device AI, itulah sebab HONOR Magic7 Pro boleh buat kedua-dua Magic Portal dan Circle To Search.


Memudahkan Pelbagai Tugas Harian

Tahukah anda ciri AI Notes kali ini lebih serba boleh dengan pelbagai fungsi yang lebih praktikal? AI Notes pada HONOR Magic7 Pro telah ditambahbaik dengan pelbagai fungsi serba boleh menjadikan ia lebih berguna untuk untuk tugasan harian. Ia boleh menukar rakaman suara kepada teks menjadikan ia sangat berguna untuk pelbagai situasi, terutamanya apabila pengguna perlu mengambil nota dengan cepat.

Selepas rakaman ditukar pengguna turut boleh membuat suntingan pada teks dengan mudah, sama ada menambah atau membetulkan maklumat. Selain itu boleh mencari teks dalam nota yang ditukar tadi menggunakan kata kunci atau frasa yang memudahkan pengguna mencari maklumat dengan lebih mudah. Seterusnya AI Summary direka untuk bantu pengguna merumuskan kandungan panjang sama ada artikel, atau nota menjadi ringkasan secara automatik. Ia boleh mengenal pasti isi-isi penting dan memastikan ringkasan yang dihasilkan adalah relevan.

Selain itu pengguna boleh menyesuaikan panjang dan tahap perincian ringkasan mengikut keperluan masing-masing yang menjadikan ia fleksibel untuk pelbagai situasi. Kemudian AI Minutes pula membantu pengguna merekod dan menguruskan catatan mesyuarat dengan lebih efisien. Ia boleh menukar rakaman audio kepada teks secara automatik yang membolehkan pengguna mengambil maklumat penting tanpa perlu menaip.

AI Minutes juga boleh mengenal pasti isi-isi utama daripada rakaman audio bermakna pengguna tidak akan terlepas maklumat penting. Selain itu boleh diselaraskan di antara pelbagai peranti HONOR yang memudahkan kandungan diakses dari mana-mana peranti pada bila-bila masa. Sementara itu AI Format membantu pengguna menyusun semula kandungan dalam dokumen secara automatik dengan lebih teratur. Ia boleh mengenal pasti struktur kandungan dalam dokumen dan menyusunnya mengikut tajuk serta sub tajuk bagi tujuan lebih mudah dibaca.

HONOR Magic7 Pro juga dilengkapi dengan ciri AI-Face-to-Face Translation yang menjadi ciri amat berguna untuk komunikasi dalam pelbagai bahasa. Ia boleh menerjemah dalam masa nyata yang memudahkan proses komunikasi antara individu yang berkomunikasi dalam bahasa berbeza. Ia juga menyokong pelbagai bahasa yang termasuk Bahasa Melayu dengan antaramuka yang mudah digunakan bagi memastikan pengguna boleh mengakses fungsi ini dengan mudah sewaktu berbual.

Selain daripada itu, HONOR Magic7 Pro turut menawarkan fungsi Interpreter yang lebih mudah digunakan bagi memastikan proses komunikasi boleh dilakukan dengan lancar tidak mengira situasi. Berbeza dengan AI Face-to-Face Translation, ciri ini boleh digunakan dalam pelbagai keadaan, sama ada suara atau teks yang tidak semestinya melibatkan perbualan secara berhadapan.

Ini bermakna anda boleh berbual dengan seseorang dalam bahasa yang berbeza dan AI akan menterjemahkan perbualan tersebut secara langsung. Dengan adanya kedua-dua ciri berguna ini anda sudah tentulah tidak lagi berhadapan masalah untuk bercakap dengan orang dalam bahasa yang berbeza.

Magic Avatar pada HONOR Magic7 Pro juga menggunakan teknologi AI untuk mencipta avatar yang menarik. Ini menjadikan avatar kelihatan lebih hidup dan menyerupai pengguna. Pengguna boleh menyesuaikan avatar masing-masing dengan pelbagai penampilan, pakaian, aksesori serta ekspresi. Selain itu menggunakan avatar tersebut untuk pelbagai tujuan lain seperti profil gambar HONOR ID, gambar latar bergerak di skrin serta animasi dalam panggilan video untuk pengalaman lebih menyeronokkan.


Sistem Kamera Canggih Dengan Penuras Harcourt

Kehebatan HONOR Magic7 Pro ini diteruskan lagi dengan sistem kamera serba canggih. Ia mempunyai kamera telefoto 200MP menawarkan ciri AI super Zoom serba canggih membolehkan pengguna mengambil gambar dari jarak jauh dengan kualiti tinggi. Teknologi AI akan menganalisis setiap gambar untuk memastikan butiran ditangkap dengan jelas. Selain itu bantu memudahkan fokus pada objek yang jauh untuk mendapatkan fokus dan ketajaman yang lebih baik dalam gambar.

Tanpa AI Super Zoom

Kamera ini juga disokong oleh dwi-sensor 50MP untuk lensa lebar dan ultra lebar yang membolehkan pengguna menangkap gambar dengan sudut pandangan lebih luas dan merakam gambar yang menakjubkan. Terdapat juga penstabilan imej OIS (Optical Image Stabilization)disertakan yang bantu memastikan setiap gambar diambil kekal stabil dan tajam, walaupun dalam keadaan pencahayaan rendah. Setiap gambar diyakini memberikan hasil yang memuaskan, dan sesuai dikongsikan di media sosial atau disimpan sebagai kenangan.

Bertambah seronoknya lagi apabila kamera HONOR Magic7 Pro mempunyai pelbagai ciri seperti AI Enhanced Portrait yang boleh meningkatkan gambar potret menjadi lebih menarik. Selain turut menawarkan fungsi Studio Harcourt yang merupakan hasil kolaborasi dengan Studio Harcourt terkenal dari Paris. Fungsi ini membolehkan pengguna mengambil gambar potret bertaraf profesional dengan gaya klasik yang dikenali oleh Studio Harcourt.

Terdapat juga ciri AI Motion Sensing yang boleh menangkap imej dengan objek yang sedang bergerak dengan jelas dan bebas daripada kabur akibat gegaran. Ia juga telah dinaiktaraf dengan keupayaan zum sehingga 10X yang membolehkan pengguna menangkap gambar dari jarak jauh dengan butiran yang tajam walaupun pada tahap zum tinggi. Sementara itu, Stage Mode pula memberikan pilihan untuk pengguna mencipta gambar dengan latar belakang yang kreatif lalu menjadikan subjek lebih menonjol.

Melalui AI Eraser, pengguna boleh menghapuskan objek yang tidak diingini dalam gambar dengan mudah dan cepat. Di mana teknologi AI akan mengenalpasti dan menghilangkan objek yang mengganggu tanpa merosakkan latar belakang gambar. AI cutout pula berfungsi seakan membuat stiker dengan mengasingkan objek dari latar belakang gambar dengan mudah. Akhir sekali, AI Outpainting yang menggunakan AI untuk menambah elemen baru pada gambar asal, seolah-olah menjana semula keseluruhan gambar. Bagaimanapun AI Outpainting  ini akan tersedia pada HONOR Magic7 Pro bermula Februari mendatang.


Komponen Dalaman Berkuasa Untuk Prestasi Lancar

Kesemua ciri canggih yang dibincangkan tadi telah dimuatkan dalam HONOR Magic7 Pro ini. Sebuah peranti flagship menarik dengan perkakasan terkini seperti cip Snapdragon 8 Elite yang dicipta khas untuk AI, dan juga berkuasa bagi memastikan prestasi yang lancar. Skrin 6.8-inci LTPO OLED memberikan visual yang baik bersama kecerahan puncak mencapai 5000 nits.  Skrin ini juga menyokong kadar segar semula 120Hz bagi tujuan peralihan animasi yang lancar dan responsif.

Selain itu dikatakan baik dalam melindungi mata melalui teknologi khusus seperti 4320Hz Risk-Free PWM Dimming yang bantu mengurangkan kerlipan skrin dan mengurangkan ketegangan mata untuk pengalaman tontonan yang lebih selesa dalam pelbagai pencahayaan. Diikuti dengan tujuh lapisan pelindung mata yang mampu menyelaraskan warna skrin untuk kelihatan lebih semula jadi dan selesa untuk mata pengguna.

Bateri juga tidak kalah sejenis karbon silikon 5,850mAh yang direka untuk bertahan lebih lama berbanding bateri standard. Ia juga menyokong pengecasan pantas 100W dan nirwayar 80W, menjadikan ia antara telefon flagship yang mempunyai pengecasan pantas cukup baik, jadi anda tidak perlu menunggu lama untuk bateri penuh. HONOR Magic7 Pro tidak hanya menawarkan spesifikasi tinggi tetapi juga dilengkapi dengan pelbagai ciri hebat lain untuk meningkatkan pengalaman pengguna.

Ia menggunakan teknologi pengenalan wajah 3D (3D Face ID) untuk memberikan lapisan keselamatan tambahan di samping 3D Ultrasound Fingerprint yang lebih tepat berbanding pengimbas cap jari konvensional. Gabungan ini memberikan tahap keselamatan dan privasi dapat dilindungi dengan lebih baik di mana menunjukkan HONOR telah menetapkan standard baharu dalam industri telefon pintar.

Dengan sistem audio stereo juga HONOR Magic7 Pro memastikan pengguna dapat menikmati setiap kandungan sama ada audio, video atau permua dengan kualiti bunyi yang luar biasa. Peranti turut melepasi penarafan IP68 yang bermakna ia tahan terhadap debu dan air untuk memastikan ketahanan lebih baik. Diikuti dengan penarafan IP69 yang memberikan perlindungan tambahan terhadap air, termasuk air dengan tekanan tinggi atau semasa digunakan dalam keadaan mencabar.

Skrin NanoCrystal Shield yang 10 kali lebih tahan disertakan juga menjadikan ia lebih kukuh untuk kegunaan harian. Ini bermakna HONOR Magic7 boleh bertahan dalam situasi mencabar lalu menjadikan ia peranti yang boleh digunakan dalam pelbagai keadaan.


Dapatkan HONOR Magic7 Pro Sekarang!

Bagaimana? Sudah bersedia untuk dapatkan peranti mercu yang hebat ini? HONOR Magic7 Pro menawarkan banyak kelebihan melalui perkakasan dalaman terkini yang sesuai untuk pelbagai keperluan sama ada produktiviti, hiburan mahupun fotografi. Lebih mengujakan apabila HONOR Magic7 Pro menawarkan storan besar mencapai 1TB yang membolehkan peranti beroperasi dengan lancar tanpa gangguan ruang simpanan yang penuh.

Harga jualan rasmi bermula RM4,599 (12/512GB) dan RM5,199 (16GB/1TB) yang dirasakan menarik untuk sebuah telefon mercu dengan lambakan ciri AI canggih serta perkakasan dalaman yang baik dalam kelasnya. Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan HONOR Magic7 Pro sekarang. Layari laman web rasmi HONOR Malaysia untuk lebih banyak promosi dan produk menarik lain.

Penafian: Advertorial dari HONOR Malaysia

Komen