Baharu sahaja tahun 2025 menginjak ke hari ke-8, hari ini Honda Malaysia mengumumkan kehadiran Honda Civic baharu yang merupakan generasi ke-12. Dan versi hibrid tersedia menerusi versi RS e:HEV yang sekaligus membawakan penjimatan minyak. Honda Civic generasi ke-12 ini turut membawakan sedikit perubahan dari segi rekaan muncung hadapan yang lebih tirus serta rim tayar yang lebih bergaya.
Honda Civic RS e:HEV ini menggunakan kombinasi enjin 2.0L yang memberikan kuasa 143 PS dan 189 Nm tork, dan motor elektrik e-CVT yang juga memberikan kuasa 184PS dan 315 Nm tork. Kombinasi penggunaan enjin petrol dan motor elektrik ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j.
Honda Civic RS e:HEV ini membolehkan penjimatan minyak yang tinggi menerusi penggunaan motor elektrik untuk kelajuan rendah, dan penggunaan enjin untuk kelajuan yang sesuai dengan penggunaan di lebuhraya. Malah enjin petrolnya juga akan lebih banyak digunakan untuk menjana elektrik bagi mengecas bateri bagi kegunaan motor elektrik. Dengan pengisian petrol penuh, jarak perjalanan kereta hibrid ini boleh mencecah 800km dan sama seperti Civic sebelum ini, kadar penggunaan petrolnya adalah sekitar 4L / 100KM.
Melengkapi kereta hibrid ini adalah fungsi swapandu tahap 2 iaitu Honda Sensing yang lengkap dengan 9 fungsi antaraya Adaptive Cruise Control serta Low-Speed Follow, Lane Keep Assist. Jadi ini sekaligus memudahkan dan menyenangkan pengalaman pemanduan. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Economy, Normal dan Sport dan bagi versi ini, terdapatnya tuil penukar tahap pembrekan semula bagi menjana bateri dengan lebih efisien mengikut kehendak pengguna.
Honda Civic generasi ke-12 ini hadir dengan beberapa pilihan yang menggunakan petrol, dan versi hibrid iaitu Honda Civic RS e:HEV ini dijual pada harga RM 167,000 dan pengguna boleh turut memilih pakej aksesori Modulo bagi menyerlahkan gaya tersendiri.