Honor Malaysia melancarkan Porsche Design Honor Magic7 RSR hari ini dengan harga jualan RM6,999 (24GB/1TB). Edisi eksklusif itu hadir dengan rekaan yang menarik diinspirasikan daripada model Porsche Taycan Turbo S. Dengan bentuk persegi yang digilap bersama sudut membulat juga menambahkan sentuhan menarik pada rekaan keseluruhan Porsche Design Honor Magic7 RSR. Turut mencuri perhatian, pemilihan warna yang mirip warna asal dan kemasan metalik kereta sports Porsche.
Menyentuh aspek spesifikasinya, Porsche Design Honor Magic7 RSR dikuasakan dengan cip pemproses terkini Snapdragon 8 Elite bersama-sama dengan padanan memori 24GB RAM LPDDR5X dan storan 1TB UFS 4.0. Selain itu didatangkan dengan skrin OLED LTPO FHD+ 6.78-inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 1,600nits. Skrin juga dikatakan 10 kali ganda lebih tahan lasak melalui teknologi baharu.
Peranti ini juga dipadankan dengan sistem kamera utama 50MP lebar, 50MP ultra-lebar, 200MP telefoto periskop dengan sokongan LiDAR, serta kamera hadapan 50MP + 3D Depth. Bateri pula sebesar 5850mAh yang boleh dicas melalui sistem pengecasan berwayar 100W dan nirwayar 80W. Selain itu mempunyai pengimbas cap jari di skrin, pembesar suara stereo (DTS:X Ultra) dan kalis air IP68/IP69.
Porsche Design Honor Magic7 RSR tersedia untuk pembelian bermula 24 Januari 2025 dan pelanggan yang berminat digalakkan untuk melawat kedai yang mengambil bahagian untuk mendapatkan maklumat lanjut.