Razer ialah sebuah jenama teknologi yang tidak asing lagi untuk golongan gamer. Mereka terkenal untuk penawaran komputer riba dan pelbagai aksesori gaming, dan di acara CES 2025 mereka telah memperlihatkan kemaskini kepada salah sebuah komputer riba gaming paling popular mereka, Razer Blade 16.
Komputer riba gaming 16 inci ini tampil dengan paparan skrin OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi QHD+ (3200×1800) dengan kadar segar semula 240Hz dan dikuasakan pilihan cip pemprosesan oleh AMD, termasuklah AMD Ryzen AI 9 HX 370 yang baru diumumkan bersama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090.
Walaupun dengan spesifikasi yang sangat berkuasa ini Razer mengekalkan rekaan komputer riba yang serba nipis, dimana pada bahagian paling nipis, ia hanya berukuran sekitar 15mm.
Untuk ini, Razer mengemaskini sistem penyejukan komponen mereka, menggunakan sistem kebuk wap baru untuk menyejukkan komponen CPU dan GPU. Sistem penyejukan ini menutupi 57 peratus daripada permukaan papan induk dan mempunyai sirip udara setebal 0.05mm yang digunakan untuk mengalirkan udara panas keluar dari komputer riba.
Tambahan lagi, Razer Blade 16 dilengkapi dengan papan kekunci yang lebih selesa dan tidak begitu cetek apabila menaip dan hadir dengan kekunci macro baru yang boleh diubahsuai kegunaannya dan dimanfaatkan dalam pelbagai cara melalui perisian Razer Synapse terbina.
Razer mengatakan bahawa komputer riba gaming Razer Blade 16 ini dijangka akan tiba di pasaran-pasaran terpilih sekitar suku pertama tahun ini.