Carian
Poco X7 dan X7 Pro Dilancarkan Dengan Dimensity 8400 Ultra – Bermula RM1199 Di Malaysia
January 9, 2025 Effi Saharudin

Dua peranti terbaru Poco X7 dan Poco X7 Pro telah diumumkan malam ini dengan kedua-duanya tergolong dalam klasifikasi kelas pertengahan mampu milik. Kita mulakan dengan Poco X7 Pro yang merupakan model lebih berkuasa antara kedua-dua peranti ini.

Ia hadir dengan skrin 6.67″ AMOLED 1.5K dengan sokongan 120Hz dan paparan HDR10+, dijana cip Dimensity 8400 Ultra, memori sehingga 12GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 512GB UFS 4.0 dan bateri sebesar 6000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 90W.

Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dan lensa ultra lebar 8MP. Di hadapan pula sensor 20MP digunakan pada kamera swafoto. Peranti ini hadir dengan pengimbas cap jari bawah skrin, speaker stereo, pemancar infra merah dan melepasi piawaian IP68. Sistem operasi yang digunakan ialah HyperOS 2 yang berasaskan Android 15.

Poco X7 pula hadir dengan skrin 6.67″ AMOLED 1.5K dengan sokongan 120Hz dan paparan HDR10+, dijana cip Dimensity 7300 Ultra, memori sehingga 12GB RAM LPDDR4X, storan sehingga 512GB UFS 2.2 dan bateri sebesar 5110 mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W.

Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, lensa ultra lebar 8MP dan lensa makro 2MP. Di hadapan pula sensor 20MP digunakan pada kamera swafoto. Peranti ini turut hadir dengan pengimbas cap jari bawah skrin, speaker stereo, pemancar infra merah dan melepasi piawaian IP68. Sistem operasi yang digunakan ialah HyperOS 2 yang berasaskan Android 14.

Turut diumumkan ialah Poco X7 Pro edisi Iron Man yang hadir dalam warna merah serta corak adiwira Marvel yang popular ini. Kemasan tubuh ialah dalam warna hitam sementara butang kuasa pula dalam warna merah untuk membuatnya kelihatan lebih menarik. Disamping itu kerangka dan pin SIM khas juga disertakan bersama dengan edisi Iron Man. Versi ini walau bagaimanapun tidak dijual di Malaysia

Harga jualan peranti adalah seperti di bawah.

  • Poco X7 (8GB + 256GB) – RM1199
  • Poco X7 (12GB + 512GB) – RM1399
  • Poco X7 Pro (8GB + 256GB) – RM1499
  • Poco X7 Pro  (12GB + 256GB) – RM1599
  • Poco X7 Pro (12GB + 512GB) – RM1699
Komen