Trend fon telinga rekaan terbuka diteruskan oleh Honor Earbuds Open. Ia menggunakan rekaan yang mirip dengan Xiaomi OpenWear Stereo. Selain itu mempunyai binaan yang ringan dan cangkuk yang memudahkan penggunaan.
Ia juga dilengkapi pemandu audio 16mm dengan dwi-mikrofon terbina dan pembatalan hingar aktif (ANC) terbina untuk pengalaman panggilan yang jelas. Tambatan pantas dilakukan menerusi bluetooth 5.2 yang juga menyokong sambungan pintar dwi-peranti serentak. Sokongan ciri berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti AI Translation dan AI Privacy Call disediakan untuk meningkatkan pengalaman penggunaan.
Pengguna turut boleh mengawal Honor Earbuds Open melalui kawalan sesentuh sama ada untuk main balik, menjeda, melangkau atau menyesuaikan kelantangan audio. Bateri disertakan boleh bertahan 22 jam dengan bantuan pod pengecas dan kalis air IP54. Honor Earbuds Open dijual di Malaysia pada RM699 dengan ketersediaan bermula 17 Januari 2025.