TomTom merupakan salah satu syarikat yang membangunkan teknologi pemetaan dan membantu pemandu di jalan raya. Terbaru, TomTom telah pun menerbitkan laporan trafik tahunan mereka yang terbaru untuk tahun 2024.
Laporan terbaru ini mengambil kira 500 bandar di 62 buah negara. TomTom mengatakan majoriti besar bandar memperlihatkan kelajuan di jalan raya berkurangan – disebabkan oleh beberapa faktor, terutamanya disebabkan kadar kesesakkan tinggi.
Di Malaysia, George Town mencatatkan masa perjalanan yang paling lama untuk jarak 10 kilometer, iaitu 26 minit 36 saat, dengan kadar kesesakkan 40%. Menduduki tangga kedua adalah Kota Bharu pula mengambil masa sekitar 22 minit 30 saat untuk jarak perjalanan 10 kilometer. Jikalau dibandingkan dengan tahun 2023, George Town memperlihatkan masa perjalanan yang lebih lama, sementara Kota Bharu memperlihatkan pengurangan masa perjalanan sebanyak 20 saat.
Kuala Lumpur menduduki tangga ke lima dari segi kesesakkan di Malaysia, mengambil masa perjalanan sekitar 17 minit 26 saat untuk jarak perjalanan sejauh 10 kilometer, dengan kadar kesesakkan sekitar 28%.
Bagi anda yang berminat, boleh menyemak senarai penuh di laman TomTom, dan melihat masa yang diambil untuk perjalanan sejauh 10 kilometer, dan kadar kesesakkan di sesuatu bandar.