Meta mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan semakan fakta di platform. Kemudian menggunakan pendekatan berasaskan komuniti yang serupa dengan sistem Community Notes X. Perubahan ini akan meliputi platform Facebook, Instagram, dan Threads bagi menangani maklumat palsu pada masa hadapan. Kesannya orang ramai mula melahirkan kebimbangan mengenai perkara itu, di mana sepatutnya ia disediakan untuk membendung maklumat salah khususnya membabitkan politik.
Dalam satu kenyataan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan Meta itu akan mempunyai kesan tetapi tidak akan menjejaskan komuniti media sosial di Malaysia dalam masa terdekat. Beliau tidak nampak ia akan menjejaskan pasaran Malaysia sebaliknya hanya Amerika Syarikat. Malahan berpendapat konsep Community Notes adalah berasaskan kepada sumber ramai dan mempunyai kebaikan dan keburukan. Tambah beliau lagi, berkemungkinan juga boleh menjadi cara yang baik sebagai sebahagian daripada sistem moderasi yang lebih luas. Buat masa ini, Meta dikatakan masih belum menghubungi pihak SKMM untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.
Secara asasnya, peralihan fokus ini dibuat sebagai peningkatan kebebasan bersuara dalam kalangan pengguna, serta meminimumkan kesilapan sistem. Ia bagaimanapun mendapat kritikan ramai yang menyifatkan perkara itu boleh membawa kepada peningkatan penyebaran maklumat palsu, serta kandungan yang berpotensi memudaratkan di seluruh ekosistem platform.