Carian
Hollyland LARK M2S Kini Rasmi – Mikrofon 7 Gram Tanpa Logo Jenama Pada Harga Bermula RM499
January 10, 2025 Fahim Zahar

Hollyland adalah jenama produk kamera dan produk rakaman audio profesional yang menjadi semakin popular sejak hujung tahun 2023. Ini kerana mereka memperkenalkan mikrofon kompak mudah alih LARK M2 dalam bentuk butang dan mampu merakam audio berkualiti tinggi pada hara mampu. Terbaru, versi dikemaskini telah dilancarkan.

Ia mengambil Hollyland satu tahun untuk memperkenalkan iterasi baharu. LARK M2S bukan pengganti tetapi adalah versi kemas kini. Kali ini, setiap mikrofon adalah lebih kecil dan tidak lagi menggunakan sistem magnet untuk sepit/klip pada baju. Sebaliknya ia menggunakan rekaan klip secara terus dengan permukaan mikrofon langsung tiada logo jenama dan hanya mempunyai berat 7 gram setiap satu.

Menariknya, LARK M2S ini turut menyokong rakaman audio 24-bit fideliti tinggi walaupun komponen berada dalam saiz kompak. Mod pembatalan hingar persekitaran masih dikekalkan dan boleh diaktifkan dengan satu butang dan ada lampu LED memberi indikasi ia aktif, status sambungan dan juga status bateri. Mikrofon baharu Hollyland ini turut menggunakan sistem sambungan yang lebih baik dan stabil kerana boleh menyokong jarak rakaman sehingga 300 meter.

Untuk bateri, sekali cas setiap mikrofon boleh bertahan sehingga 8-9 jam dan mencapai sehingga 30 jam dengan pod pengecas baharu. Masa pengecasan adalah sehingga 1.5 jam. Hollyland LARK M2S turut masih mengekalkan sokongan ekosistem terbuka, di mana LARK M2S bebas digunakan bersama laptop, kamera atau telefon pintar.

Hollyland LARK M2S telah pun dijual untuk pasaran terpilih sejak semalam. Tiga kombo ditawarkan iaitu LARK M2S Combo dengan 1x RX, 1x USB-C RX, 2x mikrofon nirwayar (TX) dan 1x kabel Lightning. Kemudian adalah LARK M2S Mini Combo yang mendapatkan set sama tetapi tanpa kabel Lightning dan menerima harga lebih murah. Akhir sekali adalah LARK M2S USB-C, versi paling mampu milik dengan hanya menerima 1x USB-C RX dan 2x mikrofon nirwayar.

Mikrofon baharu ini dijangka turut akan tiba ke pasaran Malaysia pada 15 Januari nanti. Harga jualan adalah bermula daripada RM499, kemudian RM599 dan RM659 mengikut kombo tertentu. Akan datang, kombo dengan Lightning RX turut akan ditawarkan.

@tokamanz

Hollyland LARK M2S Dah Sampai – Lagi kecil, lagi ringan, tiada logo jenama dan kualiti audio lagi ngam! Harga jualan bermula RM499, kemudian RM599 dan RM659 korang boleh dapat kit pemula content creator terbaik kat pasaran. #Hollyland #HollylandLARKM2S #LarkM2s

♬ original sound – Amanz – Amanz
Komen