Carian
WhatsApp Kini Menyokong Bahasa Malaysia Untuk Transkrip Mesej Suara Pada iPhone 
January 11, 2025 Aman

WhatsApp sebelum ini telah memperkenalkan ciri transkrip untuk mesej suara, membolehkan para pengguna WhatsApp yang menerima mesej suara, untuk tap padanya dan jana transkrip. Seterusnya, dalam masa beberapa saat, anda boleh melihat penuh transkrip mesej suara berkenaan, dan memberikan reaksi atau respon berkaitan – tanpa perlu menguatkan speaker untuk mendengar mesej suara berkenaan. Ini amat berguna ketika berada di luar pejabat, persekitaran bising, dan dalam beberapa keadaan yang tidak sesuai untuk mendengar mesej suara.

Ciri ini pada awalnya terhad kepada beberapa bahasa sahaja, dan menariknya kini WhatsApp untuk iPhone dikemaskini, dan turut menyertakan sokongan untuk menjana transkrip dalam bahasa Malaysia.

Untuk mengaktifkan ciri ini, pengguna hanya perlu ke halaman Settings > Chats > Voice Message Transcripts, dan mengaktifkan ia di sana. Seterusnya, anda turut boleh memilih bahasa transkrip untuk sesuatu mesej suara. Buat masa ini, hanya satu bahasa yang boleh dipilih.

Daripada ujian kami untuk transkrip mesej suara ini, ia berfungsi dengan baik, dan memperlihatkan teks tanpa masalah untuk keseluruhan mesej suara yang dihantar.

Bagi pengguna WhatsApp pada Android, ia masih terhad kepada beberapa bahasa sahaja, dan belum menyokong bahasa Malaysia lagi buat masa ini.

Komen