Pengguna ekosistem Apple sering memuji sokongan tambatan aksesori seperti AirPods adalah sangat mudah dan pantas. Buka sahaja AirPods dan ia akan muncul pada kesemua peranti Apple lain yang dimiliki. Tetapi sistem ini hanya diberikan kepada produk Apple sahaja ketika ini. Dalam temubual bersama Joe Rogan minggu ini, Mark Zuckerberg berkata beliau mahu Apple memberikan akses yang sama kepada sistem ini pada produk keluaran mereka.
Dalam contoh yang diberikan, Zuckerberg mahu proses tambatan cermin mata pintar Ray-Ban Meta dipermudahkan pada sebuah iPhone. Tetapi sehingga kini permintaan ini tidak diluluskan oleh Apple. Kesatuan Eropah (EU) bulan lalu mendedahkan Meta ialah syarikat yang melakukan permohonan tertinggi kepada Apple bagi membuka akses kepada ekosistem mereka.
EU mengarahkan Apple supaya membenarkan pengeluar aksesori dan aplikasi pihak ketiga untuk mengakses ekosistem tambahan serta memberikan sokongan seperti AirDrop kepada peranti Android. Menurut EU ini adalah bagi memberikan pilihan lebih baik kepada pengguna negara-negara ahli dan tidak dipaksa untuk hanya menggunakan peranti keluaran Apple sahaja.
Dalam temubual yang sama, Zuckerberg juga berkata Apple tidak mencipta sesuatu yang bagus dalam tempoh yang lama sehingga menyebabkan jualan iPhone mula menyusut. Ini menurut pengasas Facebook adalah sebab mengapa potongan 30% diambil daripada pembangun aplikasi di App Store.
Tambah beliau lagi, halangan akses tambatan peranti dengan mudah seakan AirPods juga adalah usaha Apple untuk memastikan produk keluaran pihak ketiga tidak akan memberikan persaingan kepada produk keluaran mereka.