Carian
Rekaan Serta Spesifikasi Samsung Galaxy S25 Ultra, S25+ dan S25 Tertiris
January 13, 2025 Effi Saharudin

Samsung Galaxy S25 Ultra, S25+ dan S25 akan dilancarkan pada awal pagi 23 Januari ini. Dengan pelancarannya semakin hampir, sekali lagi rekaan serta spesifikasi peranti telahpun tertiris awal kali ini menerusi laman Android Headlines.

Samsung Galaxy S25 Ultra di atas membawakan beberapa perubahan kecil berbanding S24 Ultra tahun lalu. Kesemua bahagian sisi dan skrin peranti kini mempunyai rekaan rata. Pada S24 Ultra tahun lalu, sisi kiri dan kanan masih lagi mempunyai bingkai yang dibulatkan. Bonggol kamera juga lebih menyerupai Z Fold6. Perubahan paling besar ialah skrin peranti kini mempunyai bucu yang dibulatkan.

Ia dilengkapi skrin 6.9″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+ 120Hz, dijana cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy, memori 12GB RAM, storan sehingga 1TB, dan bateri 5000 mAh dengan pengecasan 45W. Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP, ultra sudut lebar 50MP, telefoto periskop 50MP dan telefoto 3X 10MP. Sementara itu di hadapan sensor 12MP digunakan pada kamera swafoto.

Samsung Galaxy S25+ juga hadir dengan skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+ 120Hz, dijana cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy, memori 12GB RAM, storan sehingga 512GB, dan bateri 4900 mAh dengan pengecasan 45W. Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP, dan telefoto 10MP. Sementara itu di hadapan sensor 12MP juga digunakan pada kamera swafoto. Seperti 25 Ultra, S25+ juga menggunakan rekaan rata sepenuhnya.

Samsung Galaxy S25 juga hadir dengan skrin 6.2″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+ 120Hz, dijana cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy, memori 12GB RAM, storan sehingga 512GB, dan bateri 4000 mAh dengan pengecasan 25W. Kamera utama di belakang juga hadir dengan lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP, dan telefoto 10MP. Sementara itu di hadapan sensor 12MP juga digunakan pada kamera swafoto. Ianya sama sahaja dengan S24+ cuma dengan saiz lebih kecil.

Ketiga-tiga peranti menggunakan sistem operasi One UI 7 berasaskan Android 15 dengan beberapa ciri Galaxy AI baharu bakal diperkenalkan. Maklumat lebih terperinci peranti akan diketahui pada hari pelancaran kelak.

Komen