Di acara CES 2025 tahun ini, Acer telah memperlihatkan sejumlah produk-produk baru, khususnya komputer riba yang dikuasakan oleh komponen-komponen terbaru oleh AMD, Intel dan NVIDIA. Kami tidak berkesempatan ke acara tersebut, tetapi Acer Malaysia juga telah mengadakan acara Predator League APAC mereka pada hujung minggu lalu, dan memperlihatkan beberapa produk terbaru mereka untuk diperlihatkan di acara tersebut.

Dalam pandang pertama ini, Acer Predator Helios 16 AI dan Predator Helios 18 AI akan menjadi tumpuan kami, dua model komputer riba gaming yang hadir dengan spesifikasi dalaman yang cukup mengganas sekali.
Rekaan Dan Spesifikasi
Kedua-dua komputer riba Acer Predator Helios 18 AI dan Helios 16 AI hadir dengan rekaan yang menggabungkanj estetika minimalis dan juga “gamer” dimana seperti model-model komputer riba Predator Helios sebelum ini, rangka luarannya tidak begitu agresif.

Akan tetapi apabila bahagian paparan diangkat, bahagian papan kekunci akan menyala dengan warna pelangi RGB, bersama-sama dengan bar cahaya di bahagian bawah komputer riba ini, menjadikannya cukup ranggi sekali.

Satu perbezaan besar yang dapat dilihat secara fizikal diantara kedua-dua komputer riba ini ialah dari segi saiz dan jenis paparan skrin yang digunakan. Predator Helios 18 AI menggunakan panel Mini LED bersaiz 18 inci dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 120Hz bersama-sama dengan kobolehan untuk mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan disertakan dengan teknologi NVIDIA G-SYNC.
Predator Helios 16 AI pula menggunakan panel OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 240Hz dan juga kebolehan mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan teknologi paparan NVIDIA G-SYNC.
Menguasakan kedua-dua komputer riba ini ialah pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200HX terbaru, sehinggalah model Intel Core Ultra 9 275HX dan juga pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000, sehinggalah model NVIDIA GeForce RTX 5090 untuk komputer riba.

Satu lagi konfigurasi yang membezakan kedua-dua komputer riba ini dapat dilihat dari segi memori. Predator Helios 18 AI boleh memuatkan sehingga 192GB memori LPDDR5X manakala untuk Predator Helios 18 AI pula, komputer riba ini boleh dimuatkan dengan 64GB memori LPDDR5X. Dari segi storan pula, Predator Helios 18 AI boleh memuatkan sehiingga 6TB storan SSD PCIe Gen 5, manakala untuk Predator Helios 16 AI, ia boleh dimuatkan dengan storan sebesar 2TB.

Sama seperti model Predator Helios yang diperkenalkan sebelum ini, kedua-dua komputer riba Predator Helios 18 AI dan Helios 16 AI tampil dengan papan kekunci bersaiz penuh yang menggunakan suis mekanikal tactile. Untuk model terbaru ini, kekunci-kekunci WASD dan penunjuk arah yang sedikit berbeza, menggunakan suis Magkey 4.0 yang menggunakan suis tactile magnetik.
Untuk kekunci-kekunci ini, ia juga hadir dengan kekunci yang boleh dicabut untuk membolehkan anda mengubahsuai “rupa” komputer riba anda supaya ia menjadi lebih unik. Dalam pada itu, anda juga akan perasan bahawa perbezaan tekanan diantara kekunci WASD dan penunjuk arah adalah berbeza berbanding dengan kekunci-kekunci lain.

Dari segi pilihan palam pula, kedua-dua komputer riba ini menggunakan ketiga-tiga bahagian sisi dan belakang komputer riba untuk memuatkan palam-palam Thunderbolt 5, USB 3.2 Type-A dan palam HDMI 2.1.

Dari segi ketebalan dan berat, Predator Helios hadir dengan ketebalan 29.55mm dan mempunyai berat sekitar 3.2kg, manakala Predator Helios 16 AI mempunyai ketebalan 27.71mm dengan berat 2.7kg. Predator Helios 18 AI dimuatkan dengan bateri 99Wh, manakala Predator Helios 16 AI dimuatkan dengan bateri 90Wh.
Kedua-dua komputer riba ini akan hadir di pasaran-pasaran tertentu sekitar pertengahan tahun ini. Buat masa ini, Acer Malaysia masih belum mengesahkan lagi bilakah mereka akan memperkenalkan mereka untuk pasaran tempatan.