Carian
Pandang Pertama : Acer Predator Helios Neo 16S AI
January 13, 2025 Nazrin

Di acara CES 2025 tahun ini, Acer telah memperlihatkan sejumlah produk-produk baru, khususnya komputer riba yang dikuasakan oleh komponen-komponen terbaru oleh AMD, Intel dan NVIDIA. Kami tidak berkesempatan ke acara tersebut, tetapi Acer Malaysia juga telah mengadakan acara Predator League APAC mereka pada hujung minggu lalu, dan memperlihatkan beberapa produk terbaru mereka untuk diperlihatkan di acara tersebut.

Dalam pandang pertama ini, Acer Predator Helios Neo 16S AI akan menjadi tumpuan kami, sebuah komputer riba gaming yang hadir dengan rekaan nipis dan padat, tetapi masih mempunyai spesifikasi yang berkuasa.

Rekaan Dan Spesifikasi

Bermula dengan spesifikasi komputer riba ini, ia dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200 HX, termasuklah cip Intel Core Ultra 9 275HX bersama-sama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 sehingga model NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti untuk komputer riba.

Dari segi penawaran memori dan storan pula, komputer riba ini hadir dengan jumlah memori LPDDR5X sehingga 32GB dan akan dimuatkan dengan pilihan storan SSD PCIe 5.0 sehingga 2TB.

Dari segi rupa, ia tidak dinafikan bahawa Predator Helios Neo 16S AI dilihat hampir menyerupai Predator Helios 16AI, tetapi terdapat beberapa benda yang membezakan dua komputer riba ini. Yang paling nyata dapat dilihat pada bahagian papan kekunci. Predator Helios 16S AI menggunakan papan kekunci taktil yang biasa dengan sistem pencahayaan warna RGB secara zona, bukan pencahayaan setiap kekunci seperti Helios 16 AI dan Helios 18 AI, dan tidak mempunyai bar lampu RGB di bawah papan kekunci.

Dari segi penawaran palam, Predator Helios 16S AI dimuatkan dengan palam-palam Thunderbolt 5, palam USB 3.2 Type-A, palam HDMI 2.1, palam audio 3.5mm dan pembaca kad MicroSD. Ia juga dimuatkan dengan bateri bersaiz 76Wh yang membolehkan komputer riba ini untuk beroperasi untuk beberapa jam.

Predator Helios 16S AI hadir dengan rekaan yang lebih nipis dan lebih ringan pada ketebalan 19.9mm dengan berat 2.3kg dan ini adalah kerana komputer riba ini tidak perlu memuatkan komponen-komponen gergasi seperti sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090.

2025 boleh dikatakan sebuah tahun yang cukup menarik sekali untuk komputer riba kerana ia dijangka bahawa komputer-komputer riba yang akan dilancarkan pada tahun ini semuanya akan hadir dengan prestasi yang hebat sekali, tidak kira saiznya.

Predator Helios Neo 16S AI akan dilancarkan di pasaran-pasaran terpilih pada pertengahan tahun ini, tetapi untuk pasaran tempatan, Acer Malaysia belum mengesahkan bilakah ia akan mula dijual buat masa ini.

Komen