Sebanyak 8,756 kandungan berunsurkan buli siber yang diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang 2024, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 1,763 kandungan yang diturunkan pada 2023.

Teo berkata kesan buli siber boleh menyebabkan kesan emosi yang serius terhadap mangsa, dan boleh memberi impak yang mendalam kepada kehidupan mereka dalam jangka masa panjang. Pelbagai pihak termasuk individu, keluarga, sekolah, dan masyarakat perlu memainkan peranan secara menyeluruh bagi membendung isu buli siber sebelum kudis menjadi tokak. Katanya, kerajaan juga telah melaksanakan inisiatif program seperti Klik Dengan Bijak (KDB) untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai pentingnya penggunaan Internet secara berhemah. Hingga kini, program itu telah melibatkan lebih 17,000 peserta di Pahang sahaja pada tahun lepas.

Baru-baru ini juga, kerajaan mengumumkan bahawa akan melaksanakan kempen keselamatan dalam talian di sekolah menengah dan rendah di seluruh negara dalam masa terdekat. Kempen itu diadakan bagi meningkatkan pemahaman serta kesedaran ibu bapa, guru dan murid sekolah tentang keselamatan dalam talian bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.