ASUS telah mengambil-alih jenama NUC atau Next Unit of Computing dua tahun yang lalu dari Intel, dan sejak itu, telah menggunakan penjenamaan dan juga rekaan komputer NUC untuk memperkenalkan produk-produk serba baharu.
Salah satu daripada produk tersebut ialah ASUS ROG NUC yang diperkenalkan pada tahun lepas, merumahkan komponen-komponen komputer riba berkuasa didalam rekaan desktop yang padat, tetapi dengan rekaan agresif yang secara lazimnya diperlihatkan pada penawaran-penawaran jenama ROG.

Untuk tahun ini, ASUS telah mengemaskini ROG NUC dengan komponen-komponen terbaru daripada Intel dan NVIDIA, termasuklah cip pemprosesan Intel Core Ultra 200HX dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 kelas komputer riba.

Spesifikasi khusus CPU yang akan diperkenalkan tidak diketahui lagi, tetapi menurut pihak ASUS, komponen yang akan ditawarkan termasuklah cip dari model Intel Core Ultra 9 200HX dan Intel Core Ultra 7 200HX dan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 5080.

Komputer ROG NUC 2025 ini juga akan dimuatkan dengan memori DDR5-6400 dan penaiktarafan dari segi rangka yang tidak memerlukan pemutar skru untuk dibuka untuk menukar komponen dalaman seperti memori dan storan.
Dari segi sokongan palam, ROG NUC 2025 merumahkan empat palam USB 3.2 Type-A, satu palam Thunderbolt 4, dua palam DisplayPort 2.1, dua palam HDMI 2.1. satu palam audio 3.5mm. Komputer ini juga akan hadir dengan sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi7.
Komputer ASUS ROG NUC 2025 ini dijangka akan mula diperlihatkan di pasaran-pasaran terpilih pada suku pertama 2025.