Carian
Samsung Bekerjasama Dengan WPC Untuk Piawaian Pengecasan Nirwayar Pantas Qi 2.2
January 14, 2025 Fahim Zahar

Kalau Apple boleh bekerjasama dengan Wireless Power Consortium (WPC) untuk menjadikan MagSafe bersifat universal melalui Qi2, Samsung juga boleh. Baru-baru ini dilaporkan piawaian pengecasan nirwayar Qi 2.2 akan dibangunkan oleh Samsung dan WPC.

Untuk menjayakan teknologi pengecasan ini, cip baharu S2MIW06 dibangunkan untuk menyokong pengecasan dengan kuasa 50W. Ini adalah lebih 3x lebih pantas berbanding 15W yang biasa disokong pada peranti Samsung. Cip ini bukan terhad untuk piawaian Qi 2.2 atau peranti Samsung sahaja, tetapi turut menyokong Baseline Power Profile (BPP) untuk kuasa 5W, Extended Power Profile (EPP) untuk 15W, dan juga Magnetic Power Profile (MPP) untuk sokongan seakan MagSafe.

Samsung turut dilaporkan telah lama menguji kemampuan cip ini pada pelbagai jenis pengecas. Siri Galaxy S25 dikatakan tidak akan menyokong Qi 2.2 atau sokongan magnet terbina, tetapi ia akan menyokong Qi2 melalui aksesori Qi2 Ready. Ini bermakna, Galaxy S25 hanya akan menyokong pengecasan nirwayar maksima sehingga 15W sahaja.

Walaupun begitu, Samsung dipercayai akan menjual terlebih dahulu pelbagai pengecas dengan cip S2MIW06. Selain turut akan menjual pelbagai jenis kerangka pelindung dengan Qi2 Ready. Akan datang di masa hadapan, mungkin Galaxy S26 akan menyokong magnet terbina di dalam peranti untuk sokongan pengecasan nirwayar 50W.

Di pasaran Malaysia, peranti dengan Qi2 + MPP hanya terhad kepada iPhone 12 dan ke atas untuk pengecasan nirwayar 15W ke 25W. Sementara Qi2 hanya terhad kepada peranti HMD Skyline dan pengecasan nirwayar pantas lain adalah jenis tersendiri oleh Oppo, OnePlus, vivo dan Honor.

Komen