Honor menyediakan satu lagi penawaran yang menarik menerusi model Magic7 Pro. Bukan kali pertama Honor memberikan tumpuan menyeluruh terhadap segmen peranti premium. Malahan peranti Magic4 Pro sebelum ini juga menarik perhatian kami melalui sistem tri-kamera yang serba boleh. Diikuti juga dengan Magic5 Pro dan Magic6 Pro yang diberi peningkatan pada aspek perkakasan dalaman. Di atas kertas Magic7 Pro juga dilihat mengagumkan dari aspek prestasi tetapi bagaimanapun pula dalam penggunaan dunia nyata? Berikut dikongsikan ulasan penuh kami untuk Magic7 Pro.

Honor Magic7 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.8″ LTPO OLED WQHD+, 120Hz HDR10+, Dolby Vision |
Pemproses | Snapdragon 8 Elite (3nm) |
Cip | 2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6x 3.53 GHz Oryon V2 PhoenixM |
Cip Grafik | Adreno 830 |
RAM | 12/16 GB LPDRR5X |
Muatan Dalaman | 512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50MP (lebar), OIS 200MP (periskop telefoto), OIS 50 MP (ultra-lebar) Studio Harcourt |
Kamera Swafoto | 50 MP, f/2.0, 3D ToF |
Bateri | 5850 mAh Pengecasan berwayar 100W Pengecasan nirwayar 80W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68/69 |
Sistem Imbasan | Imbasan Cap Jari Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM 4599 (12/512 GB) RM 5,199 (16/1000 GB) |
Rekaan Dan Skrin

Kami menerima Honor Magic7 Pro dalam warna Lunar Shadow Grey. Biarpun hanya menggunakan rona perak yang dilihat menghiasi hampir segenap ruang namun Honor bijak memadankan warna ni dengan tambahan hiasan minimalis yang menaikkan kemewahan peranti. Keseluruhan peranti mengetengahkan konsep moden minimalis dan Honor dilihat menitikberatkan praktikal serta keselesaan pengguna.
Ia juga dilengkapi kemasan kaca premium tetapi tidak mudah memerangkap kotoran. Kemasan sebegini seolah-olah menunjukkan keyakinan Honor semakin meningkat sebagai salah satu pengeluar utama segmen telefon pintar premium.

Panel hadapan dan belakang mempunyai sedikit lengkungan sekata pada semua sudut skrin. Bingkai aluminium lebih rata dan tebal menjadikan pengalaman memegang terasa lebih baik. Benjol kamera besar di belakang menempatkan susunan sensor kamera dalam grid 2 x 2 bersama flash yang dilindungi lapisan kaca sepenuhnya. Ia dilihat kemas dengan hanya penjenamaan Matrix Camera di tengah-tengah modul kamera. Meskipun bonggol kamera ini besar tetapi ia tidak terlalu berat dengan kestabilan yang konsisten sepanjang tempoh penggunaan.

Bahagian sisi kanan menempatkan butang kuasa dan laras audio. Manakala ruangan slot kad SIM bersaiz Nano, port USB-C dan pembesar suara boleh ditemui pada bahagian bawah peranti. Pembesar suara sejenis stereo dengan satu lagi kekisi bahagian atas membuatkan lontaran audio menembak ke sisi. Terdapat keseimbangan yang baik di antara pembesar suara yang menembak ke bawah dan pembesar suara bahagian atas. Audio juga boleh didengari dengan jelas bersama vokal yang jelas. Tiada sokongan Dolby Atmos sebaliknya ia digantikan dengan sistem DTX Ultra untuk pengalaman lebih mengasyikkan.

Tiada bicu audio 3.5mm juga tidak mengejutkan tetapi tambahan pemancar infra merah memberi nilai tambah yang menarik. Ia boleh diprogramkan sebagai alat kawalan jauh untuk mengawal peralatan pintar seperti televisyen dan penyaman udara di rumah. Sokongan NFC turut disediakan untuk pembayaran nirtunai. Selain itu mempunyai penarafan kalis air IP68/69 sekali gus memberi saingan kepada peranti-peranti yang lain.

Skrin adalah sejenis OLED 6.8-inci dengan nisbah aspek 20:9. Resolusi 1.5K digunakan bermakna masih sama dengan generasi sebelum ini. Kemampuan HDR dan kecerahan 1800nits membolehkan skrin peranti digunakan tanpa masalah dalam pelbagai jenis pencahayaan. Pelbagai tetapan skrin lain turut disediakan untuk peningkatan kualiti kandungan yang lebih baik.
Skrin menyokong kadar segar semula 120Hz bagi peralihan animasi yang lancar. Kesemua elemen yang digunakan bagaimanapun bukanlah perkara baharu sebaliknya Honor sudah menggunakannya sejak peranti Magic4 Pro. Cuma sudah pastilah ianya diberi peningkatan berterusan untuk kekal relevan dalam pasaran masa kini.

Pengalaman tontonan video pada skrin Magic7 Pro adalah memuaskan dengan keseimbangan warna yang hebat. Warna hitam pekat bersama kecerahan yang mencukupi berfungsi dengan baik. Disokong pula pembesar suara stereo bersama subwoofer terbina memuaskan menjadikannya antara skrin cukup baik yang pernah diuji. Skrin turut menampilkan tujuh tahap pelindungan dalam usaha menjaga kesihatan mata pengguna. Fungsi imbasan cap jari dan imbasan wajah disediakan mampu berfungsi dengan pantas.

Perkakasan Dan Perisian
Dengan cip Snapdragon 8 Elite bersama memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB, peranti benar-benar menawarkan prestasi yang berkuasa. Kombinasi ini menjadikan Magic7 Pro salah satu peranti kelas mercu yang perlu diberi perhatian. Malahan menawarkan kelebihan menarik yang memberi persaingan terutama dalam aspek prestasi dan kemampuan AI.
Honor menjanjikan kemaskini selama empat tahun sistem operasi dan lima tahun untuk sekuriti pada peranti ini. Beberapa ujian penanda aras turut dijalankan dengan peranti mengutip 2,128,615 mata dalam Antutu 3D. Geekbench 6 mencatatkan 3030 mata menerusi ujian satu teras dan 8,745 mata pelbagai teras. Selain itu sebanyak 1290/1391/2203 untuk jumlah mata dalam Geekbench AI.



Antutu 3D
- Honor Magic7 Pro – 2,128,615
- Oppo Find X8 Pro – 2,672,191
- Realme GT 7 Pro – 2,642,097
- iPhone 16 Pro Max – 1,720,751
Geekbench 6
- Honor Magic7 Pro – 3030/8745
- Oppo Find X8 Pro – 2779/8044
- Realme GT 7 Pro – 2789/9002
- iPhone 16 Pro Max – 3359/8129
3D Mark Wildlife Extreme
- Honor Magic7 Pro – 3,575
- Oppo Find X8 Pro – 6,033
- Realme GT 7 Pro – 5,922
- iPhone 16 Pro Max – 4560
Geekbench AI
- Honor Magic7 Pro – 1290/1391/2203
- Oppo Find X8 Pro – 1728/1740/2147
- Realme GT 7 Pro – 2307/2323/3027
- iPhone 16 Pro Max– 4516/7744/6204
Sebenarnya saya belum pernah menguji peranti yang dikuasai oleh Snapdragon 8 Elite tetapi pengalaman dengan cip seperti Mediatek Dimensity 9400 pada Oppo Find X8 Pro sudah cukup memberi gambaran tentang prestasi yang ditawarkan oleh cip berkelas tinggi sebegini. Pengalaman menggunakan peranti sememangnya terasa sangat lancar secara keseluruhan.
Snapdragon 8 Elite menawarkan prestasi dan kecekapan kuasa yang cukup baik. Ia memberi pengalaman yang lancar pada Magic7 Pro yang diuji. Melaluinya saya boleh melakukan tugas harian sebaiknya tanpa lengah masa. Keadaan bertambah baik apabila 12GB RAM digunakan untuk memastikan setiap aplikasi mampu berjalan lancar walaupun sewaktu kegunaan multi-tugas. Dalam masa sama pengalaman permua bergrafik tinggi turut boleh dimainkan tanpa halangan.

Cumanya saya perasan peranti mula memanas dengan ketara sewaktu digunakan secara berterusan untuk mengambil gambar, melakukan ujian penanda aras dan bermain permua. Secara realiti saya pernah juga menerima amaran ‘telefon terlalu panas’ dan diminta membiarkannya sejuk sedikit sebelum meneruskan penggunaan. Hal ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti peranti terhenti dan aplikasi gagal berfungsi secara tiba-tiba. Kemudian memberi kesan pada prestasi peranti.

Pengoptimasian di antara perisian dan antara muka yang baik juga memainkan peranan besar dalam memastikan kelancaran pada peranti. Magic7 Pro menggunakan MagicUI 9.0 berasaskan Android 15. Rekaan antara muka yang dipertingkatkan bukan sahaja menjadikan pengalaman penggunaan lebih efisien malahan memudahkan.
Ia juga menawarkan ciri-ciri AI pintar yang menarik seperti teknologi AI Deepfake Detection. Ciri ini bantu melindungi pengguna daripada video deepfake yang mungkin digunakan untuk menipu atau menyebarkan maklumat palsu.



AI Magic Portal 2.0 pula membawa peningkatan yang ketara dengan menggantikan fungsi Circle to Search kepada Circle to Anything yang lebih serba boleh. Ia bukan sahaja membolehkan saya mencari maklumat dengan cepat tetapi juga melakukan pelbagai tugas lain seperti membuat catatan, mencari lokasi, menguruskan aplikasi dan banyak lagi dengan menggunakan gerakan bulatan. MagicOS 9.0 juga dilengkapi aplikasi Google Gemini yang menjadikan peranti lebih serba boleh di mana pengguna boleh menulis, menganalisis serta mencipta imej melaluinya.

AI Notes dalam MagicUI 9.0 lebih praktikal untuk pengurusan nota dengan lebih cekap. Ia menggunakan keupayaan AI untuk mengkategorikan nota secara automatik, menjadikan proses pencarian lebih mudah dan efisien. Selain turut boleh mengingatkan tentang maklumat penting yang dicatatkan dalam nota lalu menjadikan saya sentiasa menjejak tugasan harian.

Ia juga dilengkapi dengan ciri AI Summary dan AI Minutes yang berguna. Di mana saya boleh meringkaskan dokumen yang panjang dengan cepat menggunakan fungsi AI Summary. Sementara itu, AI Minutes pula menggunakan AI untuk menyusun dan mengurus minit mesyuarat dengan lebih efisien menjadikan ia lebih mudah untuk dirujuk semula pada masa akan datang.


Terdapat juga Magic Avatar yang menggunakan teknologi AI untuk mencipta avatar tampak realistik berdasarkan karakter pengguna. AI Face to Face Translation turut ditambahbaik dan kini menyokong sehingga 13 bahasa termasuk Bahasa Malaysia, Korea, Jepun dan lain-lain. Penambahan bahasa itu juga memudahkan proses komunikasi yang melibatkan berlainan bahasa menjadi lebih mudah. Selain turut menyokong Chat Interpreter yang serupa dengan peranti Samsung, membolehkan pengguna berbual dalam pelbagai bahasa secara masa nyata tanpa halangan.

Kamera Dan Kualiti Gambar
Tri-kamera masih dikekalkan pada generasi baharu ini dengan tetapan 50MP (lebar) + 200MP (telefoto periskop) + 50MP (ultra lebar) dengan OIS. Sensor telefoto periskop peranti juga menyokong 3X optikal zum dan digital 100X. Sebahagian besar mod penggambaran seperti Night, Aperture, Portrait, Photo, Video dan Pro boleh diakses dengan mudah pada antara muka kamera.
Kamera turut boleh merakam video 4K/60fps dengan mod skrin bernisbah 21:9. Terdapat juga profil gambar Harcourt yang sebelum ini digunakan pada peranti 200 Pro dan Magic V3 mereka. Di samping, fungsi Millisecond Falcon Capture yang kini menyokong kemampuan zum hingga 10 kali.






Kamera utama Magic7 Pro dilihat baik dengan sensor dan aperture yang besar. Keupayaan itu mampu memisahkan objek dan latar belakang dengan baik kemudiannya menghasilkan gambar dengan julat dinamik yang seimbang. Warna dihasilkan tidak terlalu tepu atau pudar lalu memberikan hasil gambar memuaskan. Dalam masa sama masih mengekalkan keseimbangan dalam kontras dan ketepuan.







Kamera juga memberi prestasi yang baik dalam pencahayaan rendah. Gambar mempunyai hingar yang rendah walaupun dalam keadaan malam dan memberi hasil yang jelas. Ia dilengkapi Night Mode khusus yang sepatutnya bantu meningkatkan kualiti gambar yang malap. Tetapi saya berpendapat kamera utama sahaja sudah memadai untuk hasil yang berkualiti. Gambar dalam pelbagai panjang fokus memberi hasil menarik namun bergantung pada jarak zum digunakan. Teknologi AI Super Zoom pula membolehkan tangkapan lebih jelas dari jarak 30 kali hingga 100 kali.








Kamera lebar Magic7 Pro juga boleh berfungsi sebagai sensor makro untuk tangkapan subjek pada jarak dekat. Selain itu mempunyai Harcourt Portrait Mode untuk tangkapan gambar potret yang lebih kreatif. Kamera hadapan memberikan prestasi keseluruhan yang baik. Terdapat pilihan untuk mengaktifkan dan mematikan mod kecantikan mengikut kesesuaian bagi memberikan fleksibiliti kepada pengguna dalam menyesuaikan gambar masing-masing.



Bateri Dan Pengecasan
Peranti mempunyai bateri karbon silikon generasi ketiga honor berkapasiti 5,850mAh yang menawarkan prestasi dipertingkatkan berbanding bateri biasa. Prestasi dilihat memuaskan dengan kemampuan peranti bertahan sepanjang hari melalui SOT melebihi 13 jam dalam kegunaan biasa. Ia melibatkan aktiviti-aktiviti seperti melayari web, menatal media sosial, mengambil gambar dan bermain permua. Ia juga digunakan dalam keadaan yang bergantung pada capaian LTE dan mod skrin 120Hz sepanjang masa. Pengecasan berwayar 100W disediakan boleh mengecas semula bateri peranti dalam masa yang singkat.

Pesaing
Honor Magic7 Pro | Oppo Find X8 Pro | Realme GT7 Pro |
6.8″ LTPO OLED 120Hz Dolby Vision, 5000 nits (peak) | 6.78″ LTPO AMOLED 120Hz HDR10+, 4500 nits | 6.78″ LTPO OLED, 2780 x 1264, 1Hz-120Hz, 6000 nits |
Snapdragon 8 Elite (3nm) 2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6x 3.53 GHz Oryon V2 PhoenixM | Dimensity 9400 (3 nm) 1×3.63 GHz Cortex-X925 3×3.3 GHz Cortex-X4 4×2.4 GHz Cortex-A720 | Snapdragon 8 Elite (3nm) 2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6x 3.53 GHz Oryon V2 PhoenixM |
Adreno 830 | Immortalis-G925 | Adreno 830 |
12/16 GB LPDRR5X | 12 GB LPDRR5X | 12GB RAM LPDDR5X |
512 GB UFS 4.0 1TB UFS 4.0 | 512 GB UFS 4.0 | 512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama 50MP (lebar), OIS 200MP (periskop telefoto), OIS 50 MP (ultra-lebar) Studio Harcourt | Kamera Utama 50 MP (lebar), OIS 50 MP (periskop telefoto) 50 MP (periskop telefoto) 50 MP (ultra-lebar) Hasselblad | Kamera Utama 50MP (Sudut Lebar), OIS 50MP (Telefoto), OIS 50MP (Sudut Ultra Lebar), OIS 8MP HYPERIMAGE+ |
Kamera Hadapan 50 MP | Kamera Hadapan 32 MP | Kamera Hadapan 16MP |
IP68/69 | IP68/IP69 | IP68/IP69 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5850 mAh Berwayar 100W Nirwayar 80W | 5910 mAh Berwayar 80W Nirwayar 50W Berbalik 10W | 6,500mAh Berwayar 120W |
RM 4599 (12/512GB) RM 5,199 (16/1TB) | RM 4999 (16/512GB) | RM3,699 (12/512GB) |
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima :
- 1 x Honor Magic7 Pro.
- 1 x Kepala Pengecas 100W.
- 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
- 1 x Kerangka Silikon.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
Kesimpulan
Magic7 Pro dilihat memberi pengalaman yang memuaskan sepanjang tempoh ulasan. Salah satu kekuatan adalah pemproses berkuasa untuk pengalaman penggunaan yang lancar. Skrin menawarkan visual yang baik dan kadar segar semula 120Hz juga benar-benar berfungsi sebaiknya. Seperti mana-mana peranti terdapat juga kekurangan yang perlu dinyatakan. Perisian yang digunakan mengandungi lambakan aplikasi gendut yang boleh mengganggu pengalaman penggunaan.

Terdapat masalah peranti menjadi panas sehingga diberikan amaran untuk memberhentikan penggunaan seketika. Secara keseluruhan, Magic7 Pro adalah pilihan yang baik untuk mereka yang mencari peranti berkuasa. Meskipun begitu penting untuk mempertimbangkan beberapa pilihan lain dan keperluan masing-masing sebelum membelinya. Sekiranya anda sememangnya pemilik peranti Magic5 Pro dan Magic6 Pro dirasakan tiada keperluan untuk naik taraf ke peranti ini.
Kelebihan
- Peranti Android berkuasa dengan cip pemproses terkini.
- Binaan kaca premium minimalis tetapi moden.
- Skrin yang terang dan tajam dengan kemampuan HDR.
- Kemampuan kamera dengan lensa yang memberikan dimensi menarik.
- Ketahanan bateri amat baik dengan pengecasan yang pantas.
- Sistem imbasan cap jari dan wajah disertakan memuaskan.
- Penarafan kalis air IP68/69 yang bertahan lebih baik.
- Pemancar infra merah sebagai alat kawalan jauh.
Kekurangan
- Sistem imbasan wajah juga tidak sepantas Face ID.
- Pepijat kecil yang menganggu penggunaan.
- Lambakan aplikasi gendut sedia dipasang pada peranti.
- Isu panas melampau.
- Tiada bicu audio.
