Carian
NVIDIA Menerangkan Sistem Penyejukan Double Flow Through Untuk Kad Grafik GeForce RTX 5000 FE Mereka
January 16, 2025 Nazrin

NVIDIA telah melancarkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 mereka dengan empat buah model baru dan telah mengejutkan orang ramai bukan sahaja dengan prestasinya, tetapi juga rekaan kad grafik yang lebih nipis apabila dibandingkan dengan model-model sebelumnya.

Malah, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 Founders Edition dilihat hadir dengan rekaan dua slot sahaja. Baru-baru ini, kad grafik tersebut telah dirungkai, dan satu perkara yang sangat mengejutkan telah dilihat dimana ia hadir dengan saiz papan litar yang lebih kecil dari biasa.

Dari segi bongkah penyejukan, sistem Double Flow Through ini menggunakan teknologi vapor chamber bersama-sama dengan bongkah aluminum untuk mengalirkan haba dari komponen-komponen kad grafik, dan kemudiannya dua kipas Double Flow Through digunakan untuk mengalirkan haba dari bongkah penyejukan tersebut.

Sistem penyejukan Double Flow Through ini akan mengalirkan haba secara lebih lancar tanpa perlu meniup udara panas ke komponen papan litar, sekaligus mengurangkan lagi kebarangkalian komponen-komponen terbina untuk menjadi lebih panas khususnya pada kadar penggunaan yang lebih tinggi.

Untuk pembina PC yang suka mengubahsuai komponen untuk sistem penyejukan yang lebih cekap seperti penyejukan cecair, mereka akan sedar bahawa papan litar pada kad-kad grafik terbaru ini sangat kecil sekali, dan ia dilihat cukup kecil untuk dimuatkan didalam sebuah rangka komputer bersaiz kecil (Small Form Factor) seperti mini-ITX dengan sistem penyejukan cecair bersaiz padat.

Malah, NVIDIA sendiri telah mengesahkan perkara ini dan menyenaraikan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 Founders Edition sebagai satu-satunya kad grafik model tersebut yang sedia untuk komputer bersaiz kecil dalam senarai Small Form Factor Ready mereka.

Ini bermakna bahawa ya, walaupun kad grafik ini menelan jumlah tenaga yang banyak dan hadir dengan prestasi yang sangat berkuasa, ia juga cukup kecil untuk dimuatkan didalam sebuah rangka komputer padat sekiranya anda mengubahsuai komponen penyejukan untuknya.

Ia sedikit sebanyak menunjukkan bahawa walaupun dengan rekaan asas NVIDIA, kad grafik dalam siri ini semua rata-ratanya mempunyai potensi besar untuk digunakan dalam pelbagai konfigurasi berbeza, bergantung kepada kesanggupan pengguna untuk memuatkannya dalam binaan-binaan mereka.

Komen