Carian
Operasi TikTok Di Amerika Syarikat Mungkin Bernilai Sekitar $50 Bilion Sekiranya Bytedance Ingin Jual
January 16, 2025 Aman

Hujung minggu ini akan melihat keputusan akhir untuk TikTok, sama ada ia meneruskan operasi di Amerika Syarikat atau sebaliknya. Mengikut perintah mahkamah sebelum ini, TikTok perlu berhenti beroperasi atau menjual operasi mereka kepada syarikat di Amerika Syarikat menjelang 19 Januari 2025.

Selepas tarikh tersebut, Apple dan Google perlu membuang aplikasi tersebut daripada kedai aplikasi di Amerika Syarikat. Bytedance telah mencuba beberapa langkah termasuk menentang arahan tersebut di mahkamah. Ia tidak diketahui lagi sama ada Bytedance akan memilih untuk menjual operasi di Amerika Syarikat atau sebaliknya. Beberapa desas-desus turut mengatakan Bytedance kini bersedia untuk menamatkan operasi dan menghentikan TikTok di Amerika Syarikat.

Walaupun tidak disahkan lagi, kini penganalisa menyasarkan sekiranya Bytedance memilih untuk menjual, maka ia mungkin menilaikan operasi TikTok di Amerika Syarikat sekitar $50 bilion. Di Amerika Syarikat sahaja, TikTok mempunyai sekitar 115 juta pengguna bulanan, menghampiri angka pengguna Instagram di Amerika Syarikat yang berjumlah sekitar 131 juta. TikTok juga dilihat jauh mendahului Snapchat, Reddit dan juga Pinterest.

Seperti biasa, sama-sama kita saksikan langkah Bytedance pada 19 Januari 2025 ini, untuk melihat sama ada TikTok akan terus beroperasi atau sebaliknya.

Komen