Amerika Syarikat Akan Mengenakan Sekatan Cip Semikonduktor Baru Terhadap China
Nazrin
Amerika Syarikat akan menerima presiden baru tidak lama lagi, tetapi perang perdagangan terhadap China nampaknya akan berterusan lagi. Terkini, ia dilaporkan bahawa Amerika akan mula mengenakan sekatan terhadap jualan cip semikonduktor yang dikilang menggunakan proses 14nm dan 16nm dan keatas yang mempunyai lebih daripada 30 bilion transistor.
Sekatan ini dijangka akan memberi impak kepada syarikat-syarikat seperti Intel, Global Foundries, Samsung dan TSMC yang memasarkannya di pasaran China. Malah, dengan sekatan terbaru ini, kerajaan Amerika Syarikat nampaknya akan mengenakan sekatan yang sama pada bukan sahaja negara China, tetapi beberapa negara Asia dan Timur Tengah lain.

Untuk cip-cip semikonduktor ini, syarikat-syarikat seperti Intel, TSMC dan sebagainya akan perlu mendapatkan lesen eksport kepada negara-negara yang disekat sebelum dibenarkan untuk dipasarkan ke negara-negara tersebut.
Ya, ia adalah benar bahawa kebanyakan, jika tidak semua cip-cip pemprosesan moden dibina menggunakan sekurang-kurangnya proses 10nm keatas, tetapi ia tidak terkesan dengan kebanyakan daripadanya juga, kerana jumlah transistor pada komponen-komponen tersebut tidak sampai angka 30 bilion.

Sebagai contoh, sebuah cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 285K mempunyai sebanyak 17.8 bilion transistor, dan sebuah cip pemprosesan Apple M4 mempunyai sekitar 28 bilion transistor terbina. Untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 terbaru pula, ia hadir dengan sebanyak 92 bilion transistor, dan hampir pasti bahawa ia tidak akan dibenarkan untuk dijual di pasaran tersebut, sama seperti kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 sebelumnya.
Ini mungkin boleh dilihat sebagai satu langkah untuk melarang syarikat-syarikat China untuk membeli komponen-komponen GPU untuk kecerdasan buatan, walaupun ia adalah model-model generasi lama untuk sekaligus menghalang kemaraan China dalam membangunkan sektor AI mereka sendiri.
[sumber]Bloomberg[/sumber]