SKMM Adakan Perbincangan Bersama Microsoft Berhubung Pelesenan LinkedIn
Amy Maizuraa
Langkah mewajibkan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang memiliki sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia mendapat perhatian ramai. WeChat, TikTok dan Telegram adalah tiga penyedia yang sudah menerima lesen untuk beroperasi di negara ini di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sementara itu, Meta kini dalam peringkat akhir mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan (ASP) berkenaan. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, syarikat induk Facebook, WhatsApp dan Instagram itu sedang menyiapkan beberapa dokumen untuk memenuhi keperluan perundangan khas sebagai sebahagian daripada proses pelesenan berkenaan. Proses itu penting dan selepas itu barulah akan melalui penilaian bagi memastikan status pematuhan mereka.

Menurut Fahmi lagi, penyedia platform lain seperti Google dan X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) sedang melalui penilaian terhadap status masing-masing. Kerajaan menyifatkan Google sebagai platform media sosial disebabkan beberapa bahagian YouTube seperti Shorts yang berfungsi menyerupai TikTok. Manakala dakwaan X yang dikatakan mempunyai kurang lapan juta pengguna di Malaysia pula masih dalam siasatan untuk pengesahan.

Fahmi turut menyatakan pihaknya dalam perbincangan bersama Microsoft yang memiliki LinkedIn, susulan terdapat laporan menunjukkan platform itu boleh melebihi lapan juta pengguna dalam suku pertama 2025. Selain turut menekankan pelesenan ini bukan tentang isu kebebasan bersuara tetapi kepentingan keselamatan dalam talian. Khususnya kanak-kanak bawah umur dan menyekat akses kepada kandungan berbahaya.