Meta pada awal 2025 ini, telah mengatakan akan menggantikan penggunaan penyemak fakta kepada nota komuniti seperti dilakukan pada X. Melaluinya, sesiapa sahaja boleh meninggalkan “nota komuniti” pada sesuatu perkongsian dalam membetulkan fakta dikongsikan.
Meta dijangka melaksanakan perkara berkenaan pada Facebook, Instagram dan juga Threads. Berkongsi lanjut mengenainya, hari ini ia dilaporkan Meta akan mengecualikan perkongsian berbayar daripada pelaksanaan nota komuniti.

Ini bermaksud, nota komuniti akan hanya melibatkan kandungan perkongsian organik sahaja. Pelaksanaan ini dijangka bermula daripada Amerika Syarikat dalam beberapa bulan lagi, sebelum diperluaskan ke lokasi lain.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi sama ada perkara ini akan membawa kepada komuniti yang lebih sihat atau sebaliknya. Sebelum ini sendiri, kita sedia melihat sejumlah iklan-iklan berbentuk penipuan menggunakan gambar pihak lain melalui Facebook. Tidak diketahui lagi bagaimanakah pihak Meta akan mengawalnya kelak sekiranya perkongsian berbayar ini dikecualikan daripada nota komuniti.