Setelah banyak isu berkaitan butiran fizikal telah tertiris mengenai konsol Nintendo Switch 2, syarikat permainan video dari Jepun tersebut telah akhirnya memperlihatkan video promosi dan mengesahkan kewujudan konsol tersebut, dan akan dijual pada tahun ini.

Buat masa ini, spesifikasi dalaman konsol ini tidak diumumkan lagi, tetapi seperti biasa, butiran mengenai sebahagian daripadanya juga telah tertiris ke arena web, dan ini adalah apa yang diketahui mengenainya buat masa ini.
Pertama ialah paparan skrin untuk konsol ini. Ura-ura mengatakan bahawa Nintendo akan kekal menggunakan panel LCD dengan saiz 8.0 inci untuk versi pertama konsol ini, walaupun Nintendo Switch OLED sudah menjadi konsol lalai generasi sebelumnya.

Resolusi dan kadar segar semula untuk paparan ini tidak diketahui lagi, tetapi sekurang-kurangnya Nintendo sendiri sudahpun mengesahkan bahawa ya, ia mempunyai saiz yang lebih besar berbanding konsol sebelumnya.
Ramai yang menjangkakan bahawa Nintendo akan beralih ke AMD kerana cip-cip pemprosesan yang diperkenalkan secara khusus untuk konsol mudah-alih. Akan tetapi Nintendo nampaknya tetap menggunakan khidmat NVIDIA untuk ini, dan banyak laporan mengatakan bahawa Nintendo Switch 2 akan dikuasakan oleh sebuah cip NVIDIA Tegra T239 yang dibina khusus untuk konsol ini.

Dari segi prestasi, ramai yang menjangkakan bahawa konsol ini boleh menandingi sebuah konsol PlayStation 4 Pro, tetapi berkemungkinan besar bahawa perkara ini cukup mustahil khususnya kerana cip dengan prestasi tersebut akan memakan bateri terlalu banyak, dan tidak boleh dimuatkan didalam sebuah konsol gaming bersaiz padat.
Apa-apa pun prestasi konsol ini, jangkaan kami ialah ia akan hadir dengan sokongan untuk teknologi pencahayaan Ray-Tracing dan juga menggunakan Deep Learning Super Sampling untuk meningkatkan resolusi dan kadar bingkai pada permainan.

Storan ialah satu lagi aspek konsol ini yang tidak diketahui lagi, tetapi melalui ura-ura dan juga perbualan berkisar pada konsol yang diperlihatkan di CES, Nintendo Switch 2 dijangka akan menyokong kad microSDHC dan microSDXC yang boleh menyokong storan sehingga 128TB.
Satu persoalan yang hadir lagi ialah berkenaan alat kawalan JoyCon baru ini. Ia hadir dengan saiz yang lebih besar berbanding sebelum ini, selari dengan rekaan konsol yang baru. Ramai yang mengharapkan Nintendo akan menggunakan suis Hall Effect untuk kayuria yang lebih tahan lama, tetapi atas alasan pengurangan kos, perkara ini mungkin tidak akan berlaku. Walaupun begitu, Switch 2 mungkin boleh digunakan sebagai sebuah tetikus, jadi itu adalah satu ciri yang cukup menarik.

Nintendo akan memperlihatkan butiran lanjut mengenai konsol ini di acara penstriman Nintendo Direct pada 2 April tahun ini, dimana mereka dijangka akan mengumumkan juga tarikh dan harga jualannya.