Carian
Perisian Penapisan Nombor Dalam Siri Severance Di Apple TV+ Kini Boleh Dicuba
January 17, 2025 Fahim Zahar

Severance adalah antara siri TV popular Apple TV+ dengan musim kedua akan disiarkan bermula hari ini. Ia mengisarkan konsep pekerja di Lumon Industries yang ingin amalkan keseimbangan kerja-hidup dengan memori kerja dan kehidupan luar kerja dipisahkan. Watak utama dalam siri ini bekerja sebagai penapis Macrodata dan anda kini boleh mencuba perisian yang mereka gunakan.

Tugas watak utama iaitu Mark, Irving, Dylan, dan Helly adalah Macrodata Refinement atau MDR. Dalam siri ini, setiap pelakon perlu melakukan tugas penapisan ini dengan betul. Mereka perlu mencari nombor yang spesifik untuk diasingkan. Konsep kerja ini dikatakan berasas dari mitos Lumos Industries iaitu Four Tempers: Woe, Frolic, Dread, dan Malice.

Dalam laman web https://lumon-industries.com/, antaramuka yang diberikan mirip dari dalam siri TV. Ia mempunyai ratusan nombor berbeza dalam grid 11 x 16, mempunyai lima tong 00, 01, 02, 03 dan 04 untuk mengasingkan nombor spesifik dan penapisan nombor yang selesai akan menerima ganjaran.

Di dalam siri, ganjarannya adalah pemadam jenama Lumon, peraminan perangkap jari klasik China, pengalaman berdansa, bingkai potret sendiri dan sedikit makanan. Tujuan Macrodata Refinement ini masih belum jelas sehingga hari ini.

Menurut pelakon utama Adam Scott yang memainkan watak Mark Scout, komputer yang digunakan dalam Severance adalah peranti sebenar yang dibangunkan. Ia memberi penggunaan seakan Apple IIe tetapi dengan kekunci dan butang kawalan tidak ergonomik. Skrin adalah seakan CRT zaman dulu tetapi dengan sokongan sentuhan.

Severance musim pertama sedia untuk ditonton di Apple TV+ dengan 9 episod. Musim kedua akan bermula hari ini 17 Januari 2025 dengan episod pertama dan baki 9 episod lagi setiap minggu hari Jumaat. Apple TV+ boleh dilanggan pada harga RM29.90 sebulan dengan 7 hari percubaan percuma.

Komen