Bluesky Mencatatkan Peningkatan 17 Kali Ganda Laporan Kandungan Negatif Sepanjang 2024
Nazrin
Bluesky telah mencatatkan peningkatan jumlah pengguna yang mendadak pada tahun lepas kerana keengganan X/Twitter untuk menyemak kandungan yang berunsur kebencian dan negatif, dan juga kerana kerajaan Brazil yang telah bertindak untuk menghalang aplikasi tersebut daripada beroperasi di negara tersebut kerana isu ini.
Aplikasi media sosial baru tersebut telah mencatatkan seramai 26 juta pengguna di platform tersebut pada penghujung tahun 2024, dan walaupun ia bagus dan membolehkan platform tersebut berkembang dengan pengguna-pengguna baru, ia juga hadir dengan beberapa kesan yang agak negatif.
Bluesky baru sahaja mengeluarkan laporan Bluesky 2024 Moderation Report dan mengatakan bahawa dengan penambahan pengguna, mereka juga telah memperlihatkan penambahan dalam jumlah laporan berkenaan kandungan-kandungan berbaur negatif pada platform mereka.

Pada 2023, Bluesky mencatatkan 358 ribu laporan berkenaan, dan pada 2024, angka tersebut meningkat ke 6.48 juta, yang merupakan peningkatan sebanyak 17 kali dari tahun ke tahun. Jumlah laporan dilihat meningkat dengan mendadak apabila ramai pengguna Brazil berhijrah dari X ke Bluesky kerana pengharaman aplikasi tersebut yang dilakukan oleh kerajaan negara itu.
Dalam beberapa minggu apabila perkara tersebut berlaku, Bluesky mencatatkan sebanyak 50 ribu laporan berkenaan kandungan negatif setiap hari, dan terbahagi kepada beberapa bahagian:
- Kelakuan anti-sosial – 1.75 juta laporan
- Kandungan mengelirukan/berunsur penipuan – 1.2 juta laporan
- Spam – 1.4 juta laporan
- Kandungan seksual yang tidak dilabel sedemikian – 630 ribu
- Kandungan yang melanggar tatakelola platform – 933 ribu
- Lain-lain – 726 ribu
Oleh kerana ini, Bluesky juga mengatakan bahawa mereka telah menutup 35,842 akaun kerana aktiviti spam dan juga disyaki adalah rangkaian bot. Sebanyak 238 permintaan juga telah diterima daripada beberapa agensi kerajaan, termasuklah dari Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan Brazil.

Untuk 2024, selain daripada mengemaskini sistem moderasi mereka, fokus juga akan diberikan terhadap kandungan berkaitan amang seksual kanak-kanak, untuk memastikan bahawa kandungan sedemikian tiada tempat di platform Bluesky.
[sumber]Bluesky[/sumber]