Tahun ini siri Samsung Galaxy S25 di Malaysia tidak akan ditawarkan dengan cip Exynos seperti S24 dan S24+ tahun lalu. Keputusan Samsung untuk hanya menawarkan Snadpragon 8 Gen 3 hanya di Amerika Syarikat menerima reaksi negatif daripada peminat yang melihatnya sebagai cip yang kruang berkuasa. Ketiga-tiga model S25 tahun ini hadir dengan Snapdragon 8 Elite for Galaxy. Adakah ini sudah mencukupi untuk membolehkan siri S25 bersaing dengan pesaing daripada China yang semakin agresif?
Spesifikasi
Samsung Galaxy S25/ Samsung Galaxy S25+ | Samsung Galaxy S25 Ultra | |
Skrin | 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO QHD+, 120Hz, HDR10+ 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO FHD+, 120Hz, HDR10+ Corning Gorilla Glass Victus 2 | 6.9″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO WQHD+, 120Hz, HDR10+ Corning Gorilla Armor 2 |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy (3nm) | Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy (3nm) |
Cip | 2x Oryon V2 Phoenix L 4.47 GHz 6 xOryon V2 Phoenix M 3.53 GHz | 2x Oryon V2 Phoenix L 4.47 GHz 6 xOryon V2 Phoenix M 3.53 GHz |
GPU | Adreno 830 | Adreno 830 |
RAM | 12GB LPDDRR5x | 12GB LPDDRR5x |
Storan | 256/512GB UFS 4.0 | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) | 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/1.9 (Ultra Sudut Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) 50MP f/3.4, OIS (Telefoto 5X) |
Kamera Hadapan | 12 MP f/2.2 | 12 MP f/2.2 |
Bateri | 4900/4000 mAh Pengecasan berwayar 45W/25W Pengecasan nirwayar 15W | 5000 mAh Pengecasan berwayar 45W Pengecasan nirwayar 15W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM/5G | Dwi SIM/5G |
NFC | Ya | Ya |
Bicu Audio | Tiada | Tiada |
Kalis Air | IP68 | IP68 |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin Imbasan wajah | Cap jari bawah skrin Imbasan wajah |
Harga | Samsung Galaxy S25 RM 3999 (12/256GB) RM 4599 (12/512GB) Samsung Galaxy S25+ RM 4999 (12/1256GB) RM 5599 (12/512GB) | Samsung Galaxy S25 Ultra RM 5999 (12/256GB) RM 6599 (12/512GB) RM 7799 (12/512GB) |
Skrin
Skrin pada ketiga-tiga peranti masih lagi dari jenis Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz LTPO. Saya difahamkan tiada perubahan dilakukan pada skrin yang digunakan tahun ini berbanding tahun lalu kecuali pada ketiga-tiga model ia 0.1″ lebih besar kerana penggunaan bezel yang lebih nipis.

Maka saiz skrin ialah 6.2″ pada S25, 6.7″ pada S25+ dan 6.9″ pada S25 Ultra. Pada S25 Ultra lapisan yang mengelakkan silau yang diperkenalkan tahun lalu. Perubahan besar yang dilakukan hanya dapat dilihat pada S25 Ultra dimana bucu skrin kini dibulatkan. Selamat tinggal kepada era skrin kotak pada siri Ultra tahun ini.
Skrin ini juga menyokong paparan HDR10+ sahaja tidak seperti pengeluar Android lain yang turut memberikan sokongan Dolby Vision. Seperkara lain yang boleh saya katakan sistem haptik juga terasa sama sahaja dengan tahun lalu. Saya boleh katakan pada saat ini skrin terbaik Android kini ialah yang digunakan pada siri Oppo Find X8 yang terasa lebih realistik setanding dengan yang dinikmati pada iPhone.
Biometri

Sebuah pengimbas cap jari ultrasonik turut dikekalkan di bawah skrin. Kedudukannya masih lagi sama dan masih mudah untuk diakses dengan jari yang ingin diimbas. Sistem imbasan wajah turut diberikan tetapi saya tidak sempat pula mengujinya. Kerana teknologi skrin sama dikitar semula, bolehlah dianggap pengalaman penggunaan sistem biometri siri S25 juga sama seperti tahun lalu.
Rekaan Pelanduk Tiga Serupa
Saya mulakan dahulu dengan S25 dan S25+ kerana kedua-duanya serupa cuma perbezaan terletak pada skrin skrin semata-mata. Sisi adalah rata sama seperti tahun lalu dengan ia diperbuat daripada bahan aluminium. Butang laras audio dan kuasa terletak di sisi kanan sementara bicu audio, kekisi audio dan port pengecasan USB-C pula terletak di bahagian bawah.

Tiada langsung perubahan besar dapat dilihat pada kedua-dua model. Ini mengingatkan saya antara iPhone 15 dan iPhone 14 dua tahun lalu yang juga pelanduk dua serupa. Membezakan model tahun ini dengan model tahun lalu lebih mudah dilakukan jika melihat pada lensa kamera. Ketiga-tiga lensa kamera siri S25 mengambil rekaan daripada Z Fold6. Gelung logam yang mengelilingi lensa kamera kini lebih besar dan berwarna hitam. Tahun lalu ia masih lagi mempunyai kemasan metalik.

Kamera belakang pada kedua-dua peranti menggabungkan lensa sudut lebar 50MP, lensa ultra lebar 12MP dan telefoto 10MP sementara di hadapan pula sensor 12MP digunakan. Ini adalah konfigurasi yang sama seperti model tahun lalu dengan Samsung mengatakan tiada perubahan pada sensor dilakukan.
Tubuh peranti pula melepasi piawaian kalis debu serta air IP68. Adalah canggung melihat Samsung menawarkan IP68 sahaja sedangkan Oppo, Vivo dan Honor sudah menawarkan peranti IP69 sejak penghujung tahun lalu. Seperti skrin dan kamera, bateri pada S25 dan S25+ masih lagi sama iaitu 4000 mAh dan 4000 mAh. Tidak mengejutkan pengecasan juga masih 45W pada S25+ dan 25W pada S25.

Perubahan besar hanya dilakukan pada S25 Ultra yang kini mempunyai permukaan rata pada keempat-empat sisi. Ini membuatkannya mirip dengan peranti RedMagic dan membuatkan S25 Ultra lebih selesa dalam genggaman tangan berbanding S24 Ultra. Kerangka masih lagi daripada bahan titanium tahan lasak dengan konfigurasi butang suara, laras audio, UBS-C dan kekisi audio yang sama.

Skrin mempunyai bucu dibulatkan maka tubuh juga mempunyai bucu yang lebih dibulatkan. Dari sudut rekaan S25 Ultra nampak lebih tegap. Rekaan bonggol kamera juga sama dengan S25 dan S25+ yang menjadikannya sama juga dengan Z Fold6. Samsung nampaknya menyeragamkan rekaan bonggol kamera pada peranti mercu mereka tahun ini. Bateri masih lagi 5000 mAh dengan sokongan pengecasan 45W.

Kamera belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP, ultra sudut lebar 50MP, telefoto periskop 50MP dan telefoto 3X 10MP. Di hadapan sekali lagi sensor 12MP digunakan. Penambahbaikan hanya dilakukan pada lensa ultra lebar yang hanya 12MP pada S24 Ultra. Seperti pada S25 dan S25+, Samsung tidak mengatakan sama ada sensor baharu digunakan.

Satu perubahan yang saya rasakan akan menjadi sumber perdebatan hangat ialah S Pen tidak lagi menyokong tambatan bluetooth. Ciri yang diperkenalkan hampir 7 tahun lalu pada Note9 tidak lagi diteruskan.
Tiada lagi kemampuan menggunakan S Pen sebatang alat kawalan jauh kamera atau mengawal zum dar jarak jauh. S Pen juga tidak menerima sebarang penaiktarafan tahap pengesanan tekanan atau sebarang ciri baharu lain tahun ini. Tempat simpanan S Pen masih lagi terletak pada bucu bawah sebelah kiri. Akhir sekali tubuh S25 Ultra melepas piawaian IP68.
Penggunaan Dan Perisian
Sistem operasi One UI 7 digunakan dengan ia berasaskan Android 15. Pelancaran One UI 7 tahun lalu ditangguh bagi membolehkan siri S25 menerimanya terlebih dahulu. Perubahan dapat dilihat pada ikon yang diberikan sentuhan baharu, talam notifikasi yang nampak lebih moden, skrin multi tugas baharu dan kemampuan menatal talam aplikasi secara menegak.
Tumpuan tahun ini sekali lagi ialah pada perisian dan khususnya peningkatan kemampuan Galaxy AI dan sokongan kemas kini jangka panjang. Samsung semakin menyerupai Apple di mana perkakasan tidak lagi diberikan keutamaan jika dibandingkan dengan lima tahun lalu. Jika anda inginkan inovasi perkakasan anda akan kecewa dengan gergasi Korea tahun ini. Jadi apakah yang menarik pada One UI 7.0?

Jawapan pendek ialah kemampuan AI yang semakin “pand.A.I” melakukan tugasan harian tanpa sebarang arahan diberikan. Ini dapat dilihat pada skrin hadapan yang kini mempunyai satu “belon”di bahagian bawah yang diberi nama Now Brief.
Now Brief memberikan rumusan harian pada waktu pagi dan malam. Sebagai contoh ia boleh menunjukkan agenda anda di pagi hari, memberikan saranan laluan ke destinasi mengikut keadaan trafik semasa, memberikan rumusan berita dan juga rumusan kesihatan selepas melihat penjejakan tidur pengguna. Sebuah lagi ringkasan akan diberikan pada waktu malam sebagai peringatan untuk agenda keesokan harinya. Kesemua ini dipaparkan secara serentak dari dalam aplikasi Now Brief. Pengguna boleh menetapkan apakah topik ingin dipaparkan dalam Now Brief.

Wujud juga Now Bar yang memaparkan maklumat masa nyata seperti keputusan perlawanan bola terus dari skrin kunci. Ia bolehlah dilihat sebagai Dynamic Island tetapi dengan belon bujur di bahagian bawah skrin. Pembantu maya kini adalah berasaskan Google Gemini yang beroperasi seperti agen yang lebih berkemampuan mengawal aplikasi.
Dalam ulasan Pixel 9 Pro saya tahun lalu, saya mengkritik Gemini yang masih tidak cukup berkemampuan melakukan tugasan seperti memberitahu agenda harian. Menerusi siri S25, saya difahamkan sokongan Gemini akan dikembangkan kepada beberapa aplikasi Google, Meta dan Spotify bagi menyelesaikan isu yang wujud pada Pixel 9 Pro.

Samsung meneruskan janji menawarkan kemas kini 7 versi Android dan tampalan sekuriti selama 7 tahun pada S24 Ultra. Ini sama seperti tahun lalu. Di saat ini hanya Google dan Samsung memberikan sokongan jangka panjang tujuh tahun pada peranti keluaran mereka.
Ciri baharu menjadi perhatian tetapi ciri lama yang diperkenalkan tahun lalu kembali semula dengan beberapa penambahbaikan. Wasih wujud Call Assist yang melakukan alih bahasa secara masa nyata ketika panggilan telefon.

Chat Assist masih boleh mengubah karangan yang ditaip ke bahasa terpilih secara automatik sebelum ia dihantar menerusi WhatsApp dan Messages. Note Assist boleh melakukan rumusan dokumen yang dihasilkan secara automatik bagi mereka yang tidak mempunyai masa mencukupi untuk membaca.
Suntingan gambar dan video menggunakan AI juga ditambah baik. Imej janaan dalam Photo Studio nampak lebih realistik berbanding tahun lalu dengan pilihan gaya yang lebih pelbagai. Dalam rakaman video pula, AI Eraser boleh memadam bunyi bising di belakang secara automatik. Ini amatlah berguna jika rakaman luar dilakukan dan anda tidak mahu video dipadam oleh platform kerana melanggar hak cipta lagu yang berkumandang.
Kesemua ciri Galaxy AI yang dinyatakan di atas adalah percuma sehingga 31 Disember 2025. Samsung masih belum berkongsi maklumat apakah yang akan terjadi pada 1 Januari 2026 dan apakah ciri yang boleh terus digunakan selepas tarikh ini.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Samsung Galaxy S25, S25+ dan S25 Ultra
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
Kesimpulan
Pendapat ikhlas saya mengenai siri S25 tahun ini ialah sedikit mengecewakan. Vivo, Realme, Oppo dan Honor telah melancarkan peranti mercu mereka dengan spesifikasi yang lebih menarik serta berani memberikan sesuatu yang baru. Siri S25 adalah sekadar siri S23 yang diberikan enjin baharu, perisian lebih terkini dan rekabentuk yang disentuh sedikit sahaja.

Sebagai pengeluar telefon pintar nombor satu dunia sepanjang 2024, tindakan Samsung yang semakin takut untuk berinovasi di peringkat perkakasan adalah lain dengan Samsung yang muncul garang 15 tahun lalu dengan siri Galaxy S. Tumpuan pada perisian adalah bagus tetapi perkakasan harus diberikan tumpuan yang sama.
Di Malaysia jualan Samsung Galaxy S25 dibuka hari ini dengan harga bermula RM3099 untuk 12/256GB. Samsung Galaxy S25+ pula dijual pada harga bermula RM4999 untuk 12/256GB . Akhir sekali Samsung Galaxy S25 Ultra pula dijual pada harga bermula RM5999 untuk 12/256GB.
Pro
- Semua model menggunakan Snapdragon 8 Elite for Galaxy.
- Ciri AI yang dipertingkatkan lagi kemampuannya.
- IP68
- Sokongan kemas kini tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti.
- Rekaan S24 Ultra kini nampak lebih teguh.
Kontra
- Perubahan spesifikasi minima.
- S Pen tidak lagi menyokong bluetooth.
- Kapasiti bateri kini kecil dan pengecasan juga perlahan berbanding pesaing.
- Galaxy AI hanya percuma sehingga 31 Disember 2025.