Selepas menawarkan akses penuh yang terhad pada awal Januari lepas, Apple kini akan memberikan akses percuma untuk Apple TV+ sekali lagi. Kali ini ia adalah untuk menyambut Tahun Baru Cina 2025. Cuma ia sedikit berbeza dengan akses yang diberikan pada beberapa minggu lepas.

Untuk akses percuma sempena Tahun Baru Cina 2025, Apple TV+ hanya memberi akses kepada Pachinko Musim Ke-2, Silo Musim Ke-2, The New Look dan Masters of the Air. Kemudian ia terhad kepada 3 episod untuk setiap satu siri. Anggap sahaja, ia adalah akses percubaan untuk satu minggu kerana ia hanya percuma bermula 27 Januari 2025 sehingga 2 Februari 2025 sahaja.
Jika anda berminat untuk terus menonton episod 4 dan seterusnya, Apple TV+ boleh dilanggan pada harga RM29.90 sebulan. Jika anda adalah pelajar, langganan Apple Music RM8.90 sebulan turut menyertakan akses Apple TV+. Sementara jika anda ingin berjimat, langganan pelan keluarga atau Apple One dengan berkas langganan lain adalah pilihan terbaik.