Canon Live Switcher Mobile Diperkenalkan Untuk Penstriman Langsung Dengan Multi Kamera
Fahim Zahar
Canon baru-baru ini telah melancarkan aplikasi baharu untuk peranti Apple iaitu iPhone dan iPad. Aplikasi ini adalah Canon Live Switcher Mobile khusus untuk penggunaan ketika melakukan sesi penstriman siaran langsung dengan banyak kamera serentak.
Aplikasi ini percuma untuk digunakan dengan sokongan untuk digunakan bersama banyak kamera serentak. Mungkin boleh menggunakan kamera profesional Canon, kemudian iPhone dan satu lagi kamera iPad? Atau menggunakan iPhone dan dua kamera Canon. Pengguna kemudiannya boleh bertukar-tukar antara kamera untuk pelbagai sudut pandangan berbeza seorang diri tanpa memerlukan rakan atau bantuan pekerja.

Pengguna turut boleh menetapkan masa untuk bila kamera akan ditukar agar kelihatan lebih profesional dan peralihan nampak lancar. Ia turut menyokong integrasi Facebook dan YouTube serta menyokong elemen-elemen grafik digital. Canon Live Switcher Mobile percuma tetapi dengan paparan iklan dan tera air. Untuk pengalaman lebih baik, Canon menawarkan langganan bulanan pada harga RM79.90.
[sumber] Canon [/sumber]
[download] Muat turun Live Switcher Mobile di Apple App Store [/download]