Malaysia Airlines Tawar Kereta Mercedes-Benz Untuk Penumpang Suit dan Kelas Perniagaan
Amy Maizuraa
Sekiranya anda benar-benar ingin mendapatkan pengalaman penerbangan selesa maka memilih penerbangan suit perniagaan dan kelas perniagaan boleh menjadi antara pilihan terbaik. Penumpang kelas perniagaan juga biasanya mempunyai akses kepada beberapa faedah yang lebih baik termasuk menaiki kenderaan mewah untuk memudahkan urusan pergerakan penumpang.

Dalam langkah penting untuk mengoptimumkan pengalaman pelanggan, Malaysia Airlines (MAS) hari ini menandatangani perkongsian strategik dengan Mercedes-Benz Malaysia bertujuan untuk menawarkan pengalaman pelanggan yang terbaik. Perkara itu juga selaras dengan keperluan pelanggan yang juga berubah dalam era digital ini. Selain itu memperbaiki kualiti perkhidmatan secara inovatif lalu membolehkan pelanggan menikmati penyampaian perkhidmatan yang lebih lancar.
Melaluinya, Mercedes-Benz EQS500 4Matic CKD dan Mercedes-Benz S-Class S580 E kini digunakan sebagai kenderaan perantara mewah untuk perkhidmatan pemindahan terminal peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Bermakna penumpang Malaysia Airlines tertentu akan menikmati pengalaman eksklusif menaiki kenderaan sedan mewah itu untuk menuju ke terminal di KLIA 1.

Kedua-dua model juga bukan sahaja menawarkan reka bentuk luaran yang moden dan sporty, tetapi juga ruang dalaman fleksibel dengan ciri keselamatan dan teknologi terbaik. Ini sebahagian daripada usaha MAS untuk menyediakan perkhidmatan premium dan memastikan keselesaan dan kepuasan penumpang mereka terjaga.



Perkhidmatan 24 jam itu juga tersedia secara eksklusif untuk penumpang dalam Business Suite atau Business Class yang juga berupa ahli Enrich Platinum. Ia boleh diakses dari Gate G1 (Bangunan Terminal Utama) ke Gate C1 (Bangunan Satelit). Semasa ketibaan pula, mereka perlu pergi ke pintu masuk ‘First and Business Class’ berhampiran Gate C (Bangunan Satelit) untuk pemindahan ke Bangunan Terminal Utama.

Menariknya lagi tentang kerjasama ini adalah tawaran eksklusif lain, termasuk #MyMercedesRewards yang disediakan khas pada model Mercedes-Benz terpilih dan akses kepada acara eksklusif Mercedes-Benz Malaysia yang memberikan pengalaman mewah. Selain itu, mulai 1 Mac 2025, mana-mana pelanggan yang membeli kereta Mercedes-Benz juga akan menikmati akses sepanjang tahun ke Perkhidmatan Pemindahan Terminal Peribadi Malaysia Airlines.

Usaha Malaysia Airlines dan Mercedes-Benz ini sememangnya sangat proaktif dalam mengukuhkan perlindungan pengguna dan meningkatkan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan. Dengan menyediakan kenderaan mewah seperti ini, penumpang kelas perniagaan MAS tidak hanya menikmati keselesaan tetapi juga merasakan komitmen tinggi daripada kedua-dua pihak dalam memberikan pengalaman terbaik.
Komitmen ini juga memperlihatkan dedikasi kedua-dua pihak dalam merealisasikan misi mereka untuk memberikan perkhidmatan premium yang memuaskan, serta mencipta standard baru dalam industri penerbangan dan automotif. Kerjasama ini juga dikatakan adalah bagi tempoh satu tahun buat masa ini, dan kedua-dua pihak akan berkongsi lebih lanjut sekiranya terdapat perkembangan perjanjian baharu di masa akan datang.