TNG Memperkenalkan Ciri SOS Balance Sekiranya Baki Wang Tidak Mencukupi Untuk Tol
Nazrin
Pernahkah anda berada didalam situasi dimana baki wang dalam kad atau akaun Touch’n’Go anda tidak mencukupi untuk membayar tol? Touch’n’Go baru-baru ini telah memperkenalkan ciri SOS Balance yang membolehkan anda untuk membayar yuran tol sekiranya terdapat kecemasan dimana akaun atau kad anda tidak mempunyai wang yang mencukupi.

Ciri ini sudah boleh dilihat melalui aplikasi TNG eWallet dan untuk mengaktifkannya, pengguna dilihat perlu menggunakan dompet digital TNG eWallet dengan kerap, memasukkan wang kedalam aplikasi tersebut dan sentiasa melunaskan bayaran dalam masa yang ditetapkan.
Apabila aktif, ciri SOS Balance akan membantu anda untuk membayar tol untuk seketika, dimana “hutang” tersebut perlu dibayar semula dalam masa 24 jam selepas pembayaran tol dibuat.


TNG mengatakan bahawa ciri SOS Balance kini boleh digunakan di plaza tol yang menyokong kedua-dua ciri Touch’n’Go RFID dan PayDirect seperti yang dinyatakan dalam senarai di laman FAQ mereka.

FAQ TNG SOS Balance mengatakan lagi bahawa sekiranya baki SOS Balance ini tidak dibayar dalam tempoh 24 jam, ciri tersebut akan digantung dan ciri pembayaran dan pembelian dalam aplikasi akan dibekukan sehingga ia dibayar. Anda hanya perlu top up wang pada aplikasi tersebut, dan baki tersebut akan dibayar secara automatik.
Untuk melihat ciri SOS Balance, anda hanya perlu ke aplikasi TNG eWallet dan klik ikon kereta di bahagian atas aplikasi tersebut, di sebelah baki eWallet anda. Anda akan beralih ke laman SOS Balance. Selain dari itu, anda juga boleh melihat ciri tersebut selepas menekan butang “More” pada aplikasi tersebut.
[sumber]TNG eWallet[/sumber]