Mana-mana gedung aplikasi, walaupun telah diiktiraf dan koleksi aplikasi menerima ulasan atau maklum balas positif – tidak semua boleh dipercayai. Akan ada sahaja aplikasi berbahaya terlepas kerana pembangun licik. Disebabkan itu, Google Play Store mempunyai perlindungan yang hebat dan sejumlah aplikasi akan menerima pengiktirafan khas seperti yang baru diedarkan kepada orang ramai – aplikasi dengan lencana Independent Security Review.

Lencana Independent Security Review atau jika anda menggunakan Bahasa Melayu ia akan dipaparkan sebagai Semakan Keselamatan Bebas kini mula diedarkan kepada orang ramai selepas kali pertama diumumkan pada tahun 2023. Aplikasi dengan lencana ini disemak untuk melepasi piawaian App Defense Alliance (ADA) baharu iaitu MASA (Mobile App Security Assessment). Aplikasi yang melepasi piawaian ini bermakna data pengguna tidak boleh diceroboh dan dijamin selamat.

Lencana ini dilihat layak untuk aplikasi yang mengurus dan mengendalikan data-data sensitif seperti antivirus atau VPN. Dalam semakan saya, peranti di Malaysia seperti pada OnePlus 13, Google Pixel 9 Pro XL, Nothing Phone (2a) dan ASUS ROG Phone 9 Pro Edition telah menerimanya.

Jika anda mengikuti banyak pencipta kandungan di YouTube dan sebagainya dan ada yang mempromosikan VPN, pastikan aplikasi itu telah menerima lencana Semakan Keselamatan Bebas untuk menjamin keselamatan data peribadi. Antara yang popular tetapi tidak disahkan adalah ExpressVPN.
Senarai aplikasi VPN yang telah menerima lencana ini.
- Aloha Private Browser
- BeePass VPN
- Google One
- hide.me VPN
- IPVanish
- LetsVPN
- McAfee Security
- NordVPN
- Octohide VPN
- Safehouse VPN & Mobile Security
- Snap Master VPN
- Speedy Quark VPN
- Super VPN 360
- Turbo VPN
- VPN – biubiuVPN
- VPN & Antivirus by Kaspersky
- VPN Karspersky
- VPN Lumos
- VPN Proton
- VPN Proxy Master
- VPN99
- vpnify
- Windscribe VPN