Samsung Galaxy S25, S25+ dan S25 Ultra Dilancarkan Dengan Snapdragon 8 Elite For Galaxy – Harga Bermula RM3999
Effi Saharudin
Samsung Galaxy S25 Ultra, S25+ dan S25 dilancarkan secara rasmi hari ini dengan ketiga-tiga model kini menggunakan cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy. Tiada lagi model dengan cip Exynos tahun ini seperti yang berlaku di pasaran Malaysia sebelum ini. Cip ini adalah versi Snapdragon 8 Elite yang telah dikustomasi mengikut keperluan Samsung.

Samsung Galaxy S25 Ultra membawakan beberapa perubahan kecil berbanding S24 Ultra tahun lalu. Kesemua bahagian sisi dan skrin peranti kini mempunyai rekaan rata dan bucu skin kini telah dibulatkan sepenuhnya dengan ia dibuat daripada logam titanium. Pada S24 Ultra tahun lalu, sisi kiri dan kanan masih lagi mempunyai bingkai yang dibulatkan. Bonggol kamera juga lebih menyerupai Z Fold6 kerana gelang logam kini berwarna hitam sepenuhnya pada kesemua lensa.

Ia dilengkapi skrin 6.9″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+ 120Hz, dijana cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy, memori 12GB RAM, storan sehingga 1TB, dan bateri 5000 mAh dengan pengecasan 45W. Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP, ultra sudut lebar 50MP, telefoto periskop 50MP dan telefoto 3X 10MP. Sementara itu di hadapan sensor 12MP digunakan pada kamera swafoto.

S Pen masih lagi disertakan dengan terdapat tempat simpanan stylus terbina pada bucu bawah sebelah kiri tetapi tanpa sokongan bluetooth. Oleh itu ciri kawalan Air Control yang diperkenalkan sejak Galaxy Note9 hanya boleh digunakan sekiranya peranti ditambat kepada S Pen Pro yang perlu dibeli berasingan.

Samsung Galaxy S25+ pula hadir dengan skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+ 120Hz, dijana cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy, memori 12GB RAM, storan sehingga 512GB, dan bateri 4900 mAh dengan pengecasan 45W. Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP, dan telefoto 10MP. Sementara itu di hadapan sensor 12MP juga digunakan pada kamera swafoto. Seperti 25 Ultra, S25+ juga menggunakan rekaan rata sepenuhnya.

Akhir sekali Samsung Galaxy S25 hadir dengan skrin 6.2″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+ 120Hz, dijana cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy, memori 12GB RAM, storan sehingga 512GB, dan bateri 4000 mAh dengan pengecasan 25W.
Kamera utama di belakang juga hadir dengan lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP, dan telefoto 10MP. Sementara itu di hadapan sensor 12MP juga digunakan pada kamera swafoto. Ianya sama sahaja dengan S24+ cuma dengan saiz lebih kecil.

Ketiga-tiga peranti menggunakan sistem operasi One UI 7 berasaskan Android 15 dengan beberapa ciri Galaxy AI baharu bakal diperkenalkan. Antara ciri baharu ialah pembantu maya lebih berkuasa yang dikuasakan Google Gemini. Ciri Now Brief memberikan rangkuman aktiviti di waktu pagi dan malam seperti ramalan kaji cuaca serta agenda sepanjang hari. Now Bar pula memberikan kemas kini masa nyata terus dari skrin hadapan yang dikunci. Antara yang boleh dipaparkan ialah skor perlawanan bola sepak kegemaran pengguna.

Kemampuan rakaman video juga ditambah baik dengan AI Eraser yang memadam bunyi bising atau muzik latar secara automatik. Ciri Expert RAW tahun ini pula membawakan sokongan Galaxy Log dengan kemampuan melihat corak Zebra dan pendedahan warna terus daripada aplikasi kamera.
Kesemua ciri Galaxy AI seperti Photo Studio, Note Assist dan Live Translate masih lagi dikekalkan. Kami difahamkan tempoh penggunaan percuma Galaxy AI masih lagi akan luput pada 31 Disember 2025.

Semua Samsung Galaxy S25 hadir dengan langganan Gemini Advanced dan storan awanan 2TB secara percuma selama 6 bulan. Pelanggan yang melakukan tempahan bermula 23 Januari sehingga 13 Februari akan menerima tawaran harga sehingga RM 1600 dan menggandakan saiz storan bernilai RM 600 untuk model tertentu. Harga jualan peranti adalah seperti di bawah. Sila ke laman Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut.
- Samsung Galaxy S25 (12/256 GB) – RM 3999
- Samsung Galaxy S25 (12/512 GB) – RM 4599
- Samsung Galaxy S25+ (12/256 GB) – RM 4999
- Samsung Galaxy S25+ (12/512 GB) – RM 5599
- Samsung Galaxy S25 Ultra (12/256 GB) – RM 5999
- Samsung Galaxy S25 Ultra (12/512 GB) – RM 6599
- Samsung Galaxy S25 Ultra (12/1000 GB) – RM 7799