Sony Menghentikan Pengeluaran Blu-Ray Dan Beberapa Format Media Fizikal Yang Lain Sepenuhnya – Tiada Pengganti Diumumkan
Nazrin
Sony Japan hari ini telah mengeluarkan kenyataan ringkas yang mengatakan bahawa cakera media Blu-Ray, MiniDisc, MD Data dan pita MiniDV akan dihentikan pengeluaran sepenuhnya pada bulan Februari tahun ini.
Kenyataan tersebut juga mengatakan bahawa medium-medium fizikal ini tidak akan mempunyai sebarang pengganti dan kebarangkaliannya pelanggan Sony yang menggunakan medium-medium ini akan perlu mencari cara baru untuk penyimpanan data mereka.

Sony telahpun menghentikan pengeluaran cakera Blu-Ray pada pertengahan tahun 2024, dan kini, keputusan yang sama nampaknya juga telah dibuat untuk para pelanggan komersil mereka, mungkin syarikat-syarikat sederhana dan besar yang menggunakan cakera-cakera ini untuk penyimpanan data jangka masa sederhana.
Teknologi Blu-Ray diperkenalkan pada tahun 2000 dan telah digunakan untuk pelbagai jenis tujuan, seperti medium untuk filem berdefinisi tinggi (4K) dan untuk permainan-permainan konsol yang digunakan sejak era Sony PlayStation 3 sehinggalah ke Sony PlayStation 5 sekarang.
Kemaskini: Sony juga nampaknya telah mengesahkan bahawa penghentian pengeluaran cakera Blu-Ray adalah untuk cakera kosong yang dijual kepada pengguna biasa. Pengeluaran cakera untuk filem, siri televisyen dan permainan konsol masih lagi akan diteruskan.
[sumber]Sony[/sumber]