Samsung Galaxy S25 Edge Dijangka Hadir Sekitar April Atau Mei 2025
Aman
Samsung pada acara Unpacked baru-baru ini telah memperkenalkan siri telefon mercu terbaru mereka, iaitu siri Galaxy S25. Sebanyak tiga model diperkenalkan dengan harga permulaan RM3999, dan menariknya pada penghujung acara, Samsung turut mengacah satu lagi model yang akan datang, iaitu Galaxy S25 Edge.

Ketika mengacah, tarikh pelancarannya tidak diumumkan. Kini, mengikut laporan awal oleh 9to5Mac, wakil Samsung mengatakan ia akan hadir sekitar April 2025 kelak. Ini juga dilihat selari dengan desas-desus sebelum ini yang mengatakan siri “Slim” akan diperkenalkan sekitar April atau Mei 2025 kelak.
Berbeza dengan jenama “Edge” yang digunakan untuk telefon Samsung dengan skrin melengkung tepi sebelum ini, kini Samsung menggunakan jenama Edge ini untuk peranti dengan rekaan nipis. Rekaan nipis juga membuatkan saiz kamera nampak lebih tebal berbanding kebiasaan.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pengenalan rasmi Galaxy S25 Edge ini, dan apakah spesifikasi yang akan disertakan bersama-sama dengannya kelak.