Carian
Intel Mahu Semua Komputer Riba Masa Depan Menggunakan Komponen Modular
January 27, 2025 Effi Saharudin

Adakah komputer riba masa hadapan akan menjadi modular sepenuhnya? Hujung minggu lalu, Intel berkongsi cadangan menjadikan rekaan modular sebagai piawaian yang digunakan oleh kesemua pengeluar komputer riba. Intel berkata perubahan ke rekaan ini akan memudahkan proses naik taraf komponen dan lebih penting sekali menggantikan bahagian yang mengalami kerosakan di masa hadapan.

Ini akan sekaligus mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh longgokan sampah elektronik atau esampah yang sudah menjadi masalah industri sejak sekian lama. Semua komponen komputer riba yang dicadangkan oleh Intel ini boleh diubah termasuk papan induk, memori, sistem penyejukan, kad WiFi dan juga pelbagai I/O.

Turut dicadangkan ialah papan induk kini dipecahkan kepada tiga komponen berbeza serta perubahan ke memori dari jenis LPCAMM yang dilancarkan oleh Micron tahun lalu. RAM ini dipasang menggunakan skru ke papan induk dan bukannya dipaterikan seperti dilakukan sesetengah pengeluar.

Sekilas pandang rekaan yang dicadangkan oleh Intel ini amat mirip yang telah ditawarkan oleh Framework sejak 2021.

Komen