Carian
Perplexity Ingin Membeli TikTok dan Menyerahkan 50% Pegangan Kepada Kerajaan Amerika
January 27, 2025 Effi Saharudin

Sebuah lagi entiti memasuki perlumbaan untuk mengambil alih TikTok Amerika Syarikat daripada Bytedance. Terkini Perplexity AI membangunkan chatbot serta enjin carian berkecerdasan buatan (AI) turut menghantar bidaan mereka kepada Bytedance. Menurut laporan AP, antara yang akan dilakukan Perplexity selepas membeli Tiktok ialah menyerahkan 50% pegangan kepada kerajaan Amerika Syarikat.

Bytedance masih lagi akan mempunyai pegangan minoriti di dalam TikTok dengan hanya terlibat sebagai pelabur. Algoritma TikTok tidak termasuk dalam pembelian ini kerana kerajaan China mengharamkan penjualan model AI buatan tempatan. Tidak diketahui apakah algoritma baharu yang akan digunakan. Sungguhpun mempunyai pegangan 50%, kerajaan Amerika tidak akan mempunyai wakil dalam lembaga pengarah syarikat.

Perkara pertama yang akan dilakukan Perplexity ialah menjual saham syarikat yang dijangka mencecah nilai $300 bilion. Menurut beberapa penganalisa, Bytedance mungkin akan menjual TikTok pada nilai antara $100-$200 bilion.

Oracle, Microsoft, kumpulan pelabur yang terdiri daripada MrBeast dan konsortium Kevin O’Leary juga menyatakan hasrat untuk membeli TikTok. TikTok mempunyai masa 75 hari oleh Presiden Trump pada 20 Januari lalu untuk mencari pembeli sekiranya ingin terus beroperasi di Amerika Syarikat

Komen