Carian
Samsung Kini Mengatakan S25 Ultra Tidak Menyokong Ciri Bluetooth S Pen Pro
January 28, 2025 Effi Saharudin

Minggu lalu sejurus selepas Samsung Galaxy S25 Ultra dilancarkan, kami laporkan S Pen yang disertakan tidak lagi hadir dengan sokongan bluetooth untuk kawalan Air Actions. Ini menyebabkan ciri mengawal kamera secara jarak jauh menggunakan S Pen tidak lagi boleh digunakan. Tetapi wakil Samsung menyatakan kepada kami, ciri ini akan masih boleh digunakan jika S25 Ultra dipadankan dengan S Pen Pro yang dilengkapi bluetooth.

Tetapi kini Samsung mengesahkan S25 Ultra tidak akan menyokong sebarang ciri bluetooth S Pen. Ini disahkan menerusi laman Android Authority yang menghubungi sendiri Samsung. Dalam kenyataan terkini, Samsung mengatakan sokongan S Pen Pro yang dinyatakan dalam blog yang mereka terbitkan mengandungi kesilapan.

Samsung turut mengatakan sokongan S Pen dengan bluetooth dihentikan kerana ciri Air Actions yang disertakan sejak Galaxy Note9 tidak begitu digunakan oleh pembeli peranti. Dengan ini sebuah lagi ciri yang dahulunya wujud tidak lagi diteruskan seperti bicu audio, pemancar infra merah, pengimbas nadi, bateri boleh ditanggalkan dan ciri menghasilkan GIF beranimasi menerusi Edge Panel.

Komen