Carian
Samsung Sedang Membangunkan Sensor Optikal Yang Boleh Mengesan Diabetes Lebih Awal
January 28, 2025 Effi Saharudin

Tahun lalu Samsung mengatakan mereka sedang giat membangunkan sensor optikal yang boleh mengesan tahap gula dalam darah secara berterusan. Teknologi ini akan membolehkan pesakit diabetes melihat tahap gula tanpa perlu lagi mencucuk jari dan mengambil bacaan menggunakan alat khas. Terkini Samsung menerbitkan rencana daripada Dr Hon Pak yang merupakan timbalan presiden kanan dan ketua kesihatan digital syarikat.

Beliau mengatakan Samsung masih lagi meneruskan usaha membangunkan sensor optikal pengesanan gula dalam darah. Ia turut mempunyai ciri sekunder yang membolehkan penyakit diabetes dikesan dengan lebih awal membolehkan perubahan gaya hidup dilakukan sebelum terlambat.

Sekali lagi kecerdasan buatan (AI) akan menjadi tunjang kepada teknologi kesihatan Samsung dalam masa terdekat. Menurut beliau lagi AI mempunyai potensi untuk melalukan pencegahan penyakit awal melalui analisa pola tingkah laku, mengesan keabnormalan, dan juga meramalkan masalah kesihatan yang bakal berlaku.

Sensor pengesanan gula dalam darah yang tidak memerlukan darah diambil secara fizikal ialah antara teknologi yang diramalkan mengubah dunia jam tangan pintar. Apple dan Huawei juga pernah dilaporkan sedang membangunkannya tetapi sehingga kini belum lagi ditawarkan pada produk sebenar.

Samsung sudahpun menawarkan ciri mengesan apnea tidur, tekanan darah, tahap lemak dalam tubuh dan suhu kulit pada jam tangan mereka di pasaran. Jika kemampuan mengesan gula dalam darah dan pengesanan awal diabetes juga ditawarkan, ia bakal mengubah landskap peranti boleh-pakai.

Komen